Bezanya kawasan itu adalah kepunyaan BN, tetapi Semenyih dikuasai Pakatan Harapan (PH) selepas PRU-14. Dan, PRK DUN Rantau akan berlangsung nanti.

Pihak pembangkang sudah tentu akan bekerja lebih keras untuk meneruskan momentum semangat kemenangan itu.

Persoalannya, adakah kemenangan Semenyih memberi isyarat bahawa sokongan orang Melayu yang membantu kemenangan PH dalam PRU-14 lalu telah beralih semula kepada BN khususnya UMNO?

Hal ini kita tidak boleh membuat andaian secara melulu.

Bagi Kerajaan Selangor yang mempunyai wakil 42 ADUN berbanding 7 pembangkang, kehilangan satu kerusi ini tidak memberi kesan apa-apa.

Namun, pihak PH tidak boleh mengambil ringan kerana jika berlaku keadaan sama dalam PRK yang bakal diadakan, maka ini adalah petanda awal bahawa hayat PH akan bertahan hanya satu penggal saja.

Mengapa tidak? Jika kita imbau kembali faktor yang memihak kepada PH dalam PRU-14 adalah fenomena korupsi dan skandal 1MDB selain janji-janji manis seperti penurunan kadar tol, pelupusan PPTN, penurunan harga barang dan pemansuhan GST.

Walaupun PH baru memerintah sepuluh bulan dan telah mengambil langkah memerangi korupsi dan membantu rakyat mengurangkan beban kos hidup, namun hasil daripada tindakan ini belum dapat dilihat secara menyeluruh.

Tidak dinafikan kerajaan perlu sedikit masa untuk memenuhi janji-janji itu walaupun baru sedar ada di antara janji itu mungkin tidak boleh dilaksanakan.

Kemenangan PH pada PRU-14 juga bersandarkan sokongan generasi muda yang pertama kali mengundi. Mereka belum matang berfikir tetapi lebih dipengaruhi media sosial.

Mungkin bagi golongan ini persepsi mereka sudah mula berubah terhadap kerajaan berikutan beberapa isu yang berlaku sekarang ini.

Walau bagaimanapun, apa yang dapat kita lihat sekarang ialah amalan demokrasi sedang berjalan baik.

Tidak kira parti mana yang memerintah, mereka mesti mengambil kira kepelbagaian masyarakat dan agama serta sensitiviti rakyat.

DATUK AHMAD SIDEK

Petaling Jaya