BARU-BARU ini, sekumpulan mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor Kampus Pasir Gudang mengambil inisiatif mengadakan program kemasyarakatan, A Day for Saviour di sebuah madrasah yang menempatkan lebih kurang 35 orang pelajar terletak di Sungai Tiram, Ulu Tiram, Johor.

Program tersebut adalah sebagai pendedahan kepada pelajar berkenaan tentang peranan mereka dalam menyumbang tenaga, pemikiran serta ilmu kepada komuniti setempat menerusi aktiviti sukarelawan.

Tidak hanya itu, mereka juga dididik untuk menjadi generasi penyayang serta gemar menghulurkan bantuan tanpa disuruh atau dipaksa mahupun bermotifkan wang ringgit.

Ukhuwah yang terjalin antara pelajar UiTM dan pelajar madrasah tersebut dieratkan dengan aktiviti berbentuk inovasi di mana penghuni madrasah perlu membina struktur yang kukuh daripada bahan kitar semula yang disediakan.

Aktiviti itu bukan sahaja dapat menggalakkan semangat kepimpinan dan memupuk semangat kerja berpasukan dalam kalangan pelajar malah mampu menjadi platform kepada mereka untuk meningkatkan kemahiran intrapersonal dan interpersonal seperti pemikiran kritis, penyelesaian masalah, pengurusan masa, pengendalian program serta pendekatan komunikasi yang betul.

Secara tidak langsung, pelajar turut dilatih mendekati golongan kurang berkemampuan dan memerlukan bantuan serta bersosial dengan masyarakat setempat sekali gus memberi nilai tambah pada diri mereka untuk menjadi graduan berkualiti.

Program sama juga membuka mata pelajar mengenai isu dan masalah dihadapi oleh masyarakat setempat, malah penghuni madrasah juga mendapat manfaat dan mempelajari perkara baharu.

Untuk itu, terima kasih diucapkan kepada pengurusan tertinggi UiTM Cawangan Johor di atas kelulusan dan sokongan yang diberikan. Diharapkan program berbentuk sukarelawan akan terus menjadi aspirasi serta disemarakkan oleh generasi muda dan belia bagi membentuk warganegara yang prihatin, penyayang dan saling membantu antara satu sama lain.

HERDA BALQIS ISMAIL

UiTM, Johor