KERATAN mingguan malaysia 4 jun 2017.
KERATAN Mingguan Malaysia 4 jun 2017.

Memang isu ATST sudah hangat diperkatakan oleh masyarakat di media dan laman sosial sejak beberapa bulan lalu.

Malahan pada 16 Julai lalu, Awang Selamat ada terhidu gerakan tertentu yang sedang berusaha mencabar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Mahkamah Sivil berikutan penarafan tiga kategori ATST yang disamakan semuanya sebagai anak ‘tidak halal’.

Sedangkan bagi kategori ATST daripada pasangan yang bernikah luar negara, anak berkenaan adalah anak ‘halal’ kerana pernikahan itu mematuhi syarak yang sah sebagai ‘benar’ oleh Pejabat Konsulat Malaysia di luar negara.

Tetapi anak itu turut menerima penarafan ATST sama seperti anak luar nikah atau anak dari kategori bayi terbuang kerana Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendaftarkan anak tidak berdosa itu dengan satu jenis Sijil Kelahiran sahaja iaitu tanpa ‘bin/binti’ atau ‘bin/binti Abdullah’.

Saya melihat keputusan Mahkamah Rayuan itu sebagai satu petanda positif bagi ‘membaik pulih’ sistem penggubalan undang-undang syariah di negara ini yang diterajui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan berpandukan fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Abdul Rahman Sebli di dalam penghakiman berkenaan memutuskan bahawa Ketua Pengarah JPN tidak terikat dengan fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan dalam menentukan nama bapa pada Sijil Kelahiran bagi anak orang Islam.

Saya ketepikan isu ATST kategori luar nikah tetapi hanya ingin fokuskan kepada ATST bagi kategori pernikahan luar negara sahaja kerana setakat ini Jakim tidak memberi sebarang penjelasan.

Mungkin dengan mengheret perkara ini ke mahkamah sivil, akan dapat mendorong Jakim atau Majlis Fatwa Kebangsaan menyemak semula penarafan ATST yang tidak 100 peratus mematuhi syarak itu.

Merujuk kepada tulisan Abdul Hakim Abdullah di dalam Mingguan Malaysia (4 Jun 2017), pernikahan di luar negara khususnya Selatan Thailand adalah dikira sah oleh Jakim jika bernikah di majlis agama empat wilayah yang diiktiraf iaitu di Yala, Songkhla, Patani, Narathiwat dan Satun.

Tetapi anak daripada pernikahan berkenaan ditarafkan sebagai ATST jika pernikahan tidak didaftarkan semula di Malaysia sedangkan isu pendaftaran pernikahan tiada kena-mengena dengan penarafan anak itu kerana ia lahir daripada pernikahan sah syarak di Selatan Thailand.

Memang Jakim amat teliti dalam menguatkuasakan sesuatu hukum syarak kerana tidak mahu sewenang-wenangnya menghalalkan sesuatu yang haram. Tetapi bagaimana pula jika mengharamkan sesuatu yang halal?

Pada pandangan saya, Majlis Fatwa Kebangsaan atau Jakim tidak perlu berdebat panjang dalam isu ini kerana ia ibarat ‘sudah terang lagi bersuluh’. Ini sekadar masalah administratif antara Jakim dan JPN sahaja.

Dengan anggaran lebih 500,000 ATST Islam didaftarkan oleh JPN ketika ini dan purata 2,000 pasangan Islam bernikah di Selatan Thailand setiap tahun, tidak mustahil kumpulan ini mampu memperjuangkan keadilan untuk mereka.

Hanya prosedur undang-undang yang dapat menjamin keadilan bagi ATST dalam kalangan pasangan yang bernikah secara sah di luar negara.

Saya amat menyokong usaha mencabar JPN, Jakim dan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 di mahkamah sebagaimana yang dilakukan oleh kes Rayuan No W-01(A)-365-09/2016 (nama dirahsiakan oleh mahkamah) pada 25 Julai lalu di Putrajaya.

KHAIRUL NIZAM 
MOHAMAD NOOR
Sepang, Selangor