Setelah selesai, saya diminta membawa sendiri rekod perubatan ke bilik doktor yang kedudukannya lebih kurang 10 meter dari bilik jururawat berkenaan. Apabila sampai di bilik doktor, saya diminta pula meletakkan rekod tersebut ke dalam kotak yang disediakan di tepi pintu masuk bilik doktor tersebut.

Setelah dipanggil, saya masuk untuk bertemu doktor. Namun saya telah diarahkan oleh doktor berkenaan (yang sedang duduk di kerusinya) agar berpatah balik untuk mengambil rekod perubatan saya di tepi pintu masuk biliknya bagi diserahkan kepada beliau.

Sebagai seorang pesara korporat yang biasa menerima rawatan di klinik swasta pada kebiasaan rekod perubatan pesakit akan dihantar terus oleh jururawat kepada doktor bertugas kerana rekod tersebut adalah dokumen penting untuk dianalisis dan diteliti sebelum doktor memanggil pesakit masuk ke dalam biliknya.

Kemusykilan saya, adakah proses ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang diluluskan atau mengikut kebiasaan budaya kerja di klinik kesihatan tersebut?

Secara peribadi saya mengharapkan perkhidmatan rawatan kesihatan yang berkualiti. Bagaimanapun agak malang perkara ini tidak berlaku di klinik berkenaan. Sungguh menghairankan seorang doktor muda yang sihat dan bertenaga meminta seorang pesakit yang barangkali uzur membawa rekod perubatan kepadanya.

Oleh itu, saya sarankan pihak kementerian berkenaan menyemak semula budaya kerja seumpama ini.

TENGKU MAN

Senawang