Memang berat untuk memikul tugas sebagai anggota polis. Bagi rakyat pula, mereka pasti mahukan yang terbaik bagi diri mereka terutama dari segi keselamatan dan ketenteraman awam.

Contoh mudah ialah rakyat pasti mahukan keselamatan seperti dapat tidur nyenyak tanpa diganggu penjenayah. Dalam hal ini, harapan rakyat ialah mereka dijaga oleh anggota polis yang terpaksa mengawal keselamatan tanpa mengira waktu.

Melihatkan kepada beratnya tanggungjawab anggota polis, sudah sampai masanya kerajaan mengkaji semula insentif serta kemudahan kepada setiap anggota pasukan ini.

Tahukah dan sedarkah kerajaan bahawa gaji anggota polis di Malaysia amat berbeza (lebih rendah) jika dibandingkan dengan anggota polis di Singapura. Sudah pasti pelbagai alasan boleh diberikan. Namun, apa jua alasan kerajaan mahu tidak mahu kena juga pertimbangan semula gaji dan insentif lain supaya perkhidmatan anggota PDRM dapat ditingkatkan lagi.

Jika difikir-fikirkan, gaji yang diberi sebenarnya tidaklah setaraf atau seimbang dengan tanggungjawab yang dipikul oleh setiap anggota polis.

Sebenarnya tidak rugi jika kerajaan menambah sedikit gaji serta insentif yang diberi kepada anggota polis. Langkah sebegini dapat menaikkan imej, semangat, kerajinan serta kewibawaan anggota polis untuk bekerja lebih tekun lagi.

Akhirnya negara juga beroleh keuntungan apabila kerajinan dan semangat bekerja lebih keras yang disumbangkan oleh anggota polis demi keselamatan negara dapat menjamin kesejahteraan negara. Ini kelak membawa kepada keyakinan pelabur, peniaga dan banyak lagi manfaat ekoran langkah kerajaan menambah gaji serta insentif kepada anggota polis.

Juga, kerajaan sepatutnya jangan lupa pembelaan kepada anggota polis dari segi kemudahan kesihatan dan pendidikan kepada keluarga anggota polis.

Tidak rugi jika setiap anggota polis dari peringkat bawahan hingga atasan diberikan kemudahan kesihatan dan perubatan kelas pertama secara percuma. Tiada anggota polis atau keluarga mereka yang mahu sakit kerana sakit yang dialami akan membebankan diri mereka. Begitu juga kemudahan pendidikan termasuk yuran pembelajaran dan biasiswa, sepatutnya sudah tiba masanya setiap anggota keluarga pasukan polis mendapat keistimewaan ini. Jika perkara-perkara seperti di atas mampu dilakukan oleh kerajaan, pasti anggota polis tidaklah terbeban untuk memikirkan pelbagai perkara mengenai nasib keluarga serta masa depan mereka.

Saya yakin, jika kerajaan sanggap membela nasib anggota polis, pasti mereka akan lebih fokus terhadap tangggungjawab serta keselamatan negara.

Saya juga syorkan kerajaan cuba-cubalah tinjau secara mengejut mengenai kekurangan yang dialami termasuk di balai-balai atau pondok polis di kawasan pedalaman. Jangan terkejut jika mendapati ‘indah khabar daripada rupa’. Yang pasti, ada balai atau pondok polis yang tidak terurus kerana kekurangan bajet dari kerajaan.

POLIS ZAMAN DARURAT