Loji itu akan menghasilkan air terawat sebanyak 1,130 juta liter sehari (JLH) dan menambahkan margin simpanan air sebanyak 20 peratus.

Bagaimanapun, nilai kadar air tidak berhasil (NRW) yang berpunca daripada bacaan meter tidak tepat, sambungan secara haram dan paip pecah di Lembah Klang masih lebih daripada 30 peratus.

Jadi apabila loji itu beroperasi sepenuhnya, jumlah air terawat yang boleh diagihkan hanyalah sekitar 790 JLH (selepas ditolak nilai NRW yang konservatif).

Kita perlu ingat bahawa apabila lebih banyak air terawat mula dibekalkan, akan berlaku peningkatan tekanan dalam rangkaian paip yang menyebabkan NRW bertambah.

Kerana peningkatan NRW ini, maka margin simpanan air loji itu tidak akan mencapai sasaran sebaliknya hanya sekitar 10 hingga 15 peratus.

Margin berkenaan turut bergantung kepada permintaan air terawat. Selepas loji itu beroperasi, dijangkakan berlaku peningkatan permintaan yang mendadak disebabkan banyak projek pembangunan yang ditangguhkan sebelum ini kerana masalah bekalan air akan diluluskan dengan cepat.

Menjelang 2021 atau 2022, jika NRW masih lebih daripada 25 peratus, margin simpanan air akan menjadi rendah sekali lagi.

Oleh itu, untuk memastikan Langat 2 memenuhi peningkatan permintaan selepas 2025, kita perlu menangani NRW dengan segera.

S. PIARAPAKARAN

Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (Awer)