Sebelum ini, ramai terta­nya-tanya di kawasan mana beliau akan bertanding.

Pada awal pengumuman oleh Pakatan Harapan (PH) untuk mengadakan PRK untuk Anwar di Port Dickson, ada yang menentang dan ada juga menyokong.

Namun, itu semua asam garam sebelum bermulanya peperangan menakluk Port Dickson. Kini Anwar telah pun mendapat tempat di Parlimen dan tugasnya sudah bermula. Sebagai rakyat Malaysia, inilah masanya untuk kita menilai sejauh mana prestasi bakal Perdana Menteri itu.

Secara jujurnya, ramai yang menantikan comeback Anwar dalam Parlimen sejurus sahaja beliau mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Kredibiliti Anwar dan kemampuan beliau tidak wajar dipersoalkan. Sepanjang beliau memegang portfolio sebagai Timbalan Perdana Menteri bergandingan bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri, pelbagai pencapaian dapat direkodkan.

Tugas beliau sebagai pemimpin yang dipilih rakyat baru sahaja bermula dan kini segala tindak- tandukya menjadi perhatian rakyat.

Tanggungjawab dipikul Anwar bukan sahaja sebagai Presiden PKR tetapi ahli Parlimen Port Dickson.

Rakyat kini sedang menilai kredibiliti dan pencapaian yang bakal dilakukan oleh Anwar. Generasi Y tidak sempat menikmati era kegemilangan yang tercipta tatkala beliau dan Tun Dr. Mahathir Mohamad bergandingan pada suatu masa dahulu.

Kini adalah waktu bagi Anwar membuktikan bahawa keputusan PH mengadakan PRK dan meletakkan beliau sebagai calon bukanlah keputusan yang salah.

Kurang setahun PH memerintah, mereka sudah terpalit dengan pelbagai kontroversi. Sebagai ahli Parlimen yang terlibat secara langsung dalam urusan pentadbiran negara, Anwar haruslah membuktikan kewibawaanya.

 

NUR AMIRAH 
SYAFIQAH MALEK

Batu Pahat, Johor