TULISAN ini saya tujukan khas kepada bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, 65, yang bersara baru-baru ini. Secara peribadi saya ucapkan selamat bersara kepada beliau.

Saya tidak mengenalinya secara peribadi tetapi percaya beliau seorang ketua yang rajin bekerja, cermat dan baik hati terhadap pekerja-pekerja bawahannya. Pernah saya terserempak dengannya sekali ketika berada di sebuah hotel di Bukit Bintang.

Ketika itu saya lihat beliau seorang yang ringkas dalam soal berpakaian selain mudah tersenyum. Di bawah kepimpinannya juga saya lihat para pegawai serta kakitangan PNB amat mesra serta komited membantu pelanggan mereka.

Pernah satu hari seorang saudara saya yang sakit tenat perlu membuat satu urusan penting berkaitan simpanannya dalam amanah saham PNB. Akibat penyakit yang dihidapinya dia tidak boleh keluar rumah untuk ke cawangan PNB terdekat.

Akhirnya keluarga saya memohon pertolongan pegawai PNB supaya datang ke rumah untuk selesaikan urusan tersebut. Tanpa berlengah lagi pegawai berkenaan mengikut kami balik untuk menguruskan perkara itu. Inilah antara kejujuran dan semangat kerja yang diterapkan kepada setiap warga kerja PNB oleh Hamad Kama Piah.

Saya berdoa agar beliau serta keluarga sentiasa diberikan rahmat oleh Allah SWT. Selamat bersara Tan Sri.

HJ. YUSOFF JAAFAR ABDULLAH

Johor Bahru