Kami ahli-ahli PIBG SMK Segambut telah menerima mesej teks melalui SMS (berbayar yang dikutip daripada ibu bapa) untuk hadir ke Hari Terbuka SMK Segambut pada 19 Julai 2018 mulai pukul 10.30 pagi. Kehadiran kami adalah untuk menyokong usaha sekolah dan PIBG demi kecemerlangan akademik anak-anak kami.

Dalam beberapa mesyuarat PIBG, ibu bapa dimaklumkan untuk menyumbang ke arah kecemerlangan, membantu dari sudut idea pemikiran, wang ringgit dan sebagainya. Tentu sekali ‘tuan/puan dipersilakan dan dijemput datang dan hadir ke sekolah pada bila-bila masa, kunjungan tuan-tuan amatlah dihargai dan disanjungi’.

Kenyataan daripada pihak pentadbir SMK tersebut hanya manis mulut dibibir sahaja. Pada hari tersebut, kami hadir ke sekolah untuk tujuan bertemu guru kelas dan mengambil laporan pencapaian anak sambil membawa beberapa cadangan dan usul untuk pihak sekolah.

Namun pada hari tersebut, pengetua sekolah tidak ada kerana menghadiri mesyuarat di luar. Yang ada hanyalah dua orang penolong kanan (HEM dan Pentadbiran), seorang lagi penolong kanan kokurikulum baru sahaja melaporkan diri bertugas.

Selepas berbincang dengan YDP PIBG dan beberapa AJK PIBG, salah seorang wakil kami telah memohon berjumpa dengan salah seorang penolong kanan untuk meyampai beberapa cadangan penambahbaikan untuk sekolah. Antaranya adalah:

i) Guru kelas hendaklah guru yang juga mengajar salah satu mata pelajaran dalam kelas tersebut, ini adalah untuk memastikan guru kelas sekurang-kurangnya tahu dan peka dengan pengajaran dan pembelajaran serta hal ehwal murid.

ii) Memberi peluang pelajar atau murid menyertai beberapa pertandingan sukan dan permainan yang sedang berjalan di sekitar Kuala Lumpur.

iii) Mendapatkan maklumat caruman sumbangan di koperasi sekolah sama ada ‘dividen’ dibayar kepada ahli (yang juga merupakan murid dan bekas murid);

iv) Menyemak keberkesanan Persekitaran Pembelajaran Maya Frog (Frog VLE) di https://wea0243.1bestarinet.net

Seharusnya, dalam kesibukan dan kemeriahan panggilan perjumpaan tersebut, sebagai salah seorang wakil ibu bapa, kami merasa adalah sesuatu yang tidak profesional apabila seorang penolong kanan SMK Segambut menunjukkan sikap dan nilai tidak menghormati orang lain.

Mungkin penolong kanan tersebut seorang yang bersih, cekap dan amanah serta hebat kerana bukan sahaja mampu ingat apa yang cuba disampaikan tetapi dalam keadaan tergesa-gesa mengulangi ‘saya sibuk dan sedang melayani ibu bapa yang hadir di luar.’

Persoalannya, siapakah ‘wakil kami’ itu, bukankah beliau merupakan salah seorang daripada ibu bapa yang hadir untuk tujuan pertemuan dan perbincangan bersama. Tuan YDP PIBG juga telah dimaklumkan mengenai perkara ini.

Kami ahli PIBG SMK Segambut merasakan hasrat untuk menterjemahkan ‘budaya harapan iaitu menanamkan nilai kebahagiaan, kasih sayang dan saling menghormati’ tidak akan tercapai berdasarkan kepada apa yang berlaku baru-baru ini.

WAKIL PIBG RAWTHER