Ini termasuk kenyataan susulan yang mengatakan murid sekolah hanya belajar tentang agama Islam dan tidak mempelajari yang lain menyebabkan lepasan pelajar tidak menguasai subjek berguna untuk mendapatkan pekerjaan.

Merujuk kepada laporan tersebut, ABIM ingin menegaskan bahawa subjek Pendidikan Islam (PI) (bagi murid beragama Islam) dan Pendidikan Moral (bagi murid bukan beragama Islam) adalah salah satu subjek teras yang wajib diikuti semua murid selain mata pelajaran Matematik, Sains, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, selaras dengan Akta Pendidikan 1996.

Masa yang digunakan untuk PI hanyalah 96 jam setahun daripada 752 jam keseluruhan subjek iaitu kurang daripada 13 peratus. Murid sekolah kebangsaan (SK) menggunakan 160 jam setahun untuk mempelajari Bahasa Inggeris, iaitu 22 peratus daripada keseluruhan subjek, manakala murid sekolah jenis kebangsaan (SJK) menggunakan 80 jam setahun (11 peratus).

ABIM tidak menafikan keperluan kajian semula kurikulum yang perlu mengambil kira perubahan di peringkat global seperti penguasaan kemahiran tertentu dalam menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat.

Walau bagaimanapun, kenyataan seperti ini hanya akan mencetuskan kekeliruan yang boleh menutup ruang kepada sebarang penyelesaian.

Tambahan pula permintaan untuk memasuki aliran pendidikan bersepadu seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Ulul Albab, Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI), Sekolah Agama Menengah (SAM) dan lain-lain semakin meningkat.

Justeru, ABIM berpandangan untuk memenuhi keperluan ekonomi serta pasaran kerja yang dinamik, kementerian perlu memperkukuhkan pendekatan pedagogi merentas kurikulum yang memberi tumpuan kepada penguasaan kemahiran yang dinilai tinggi dalam sektor pekerjaan seperti kemahiran berfikir secara kreatif dan kritikal, kemahiran berkolaboratif, kemahiran penyelesaian masalah secara kompleks, kemahiran mengurus emosi, kemahiran bersosial dan sepertinya.

Pembinaan watak dan kemahiran ini menuntut kepada hikmah dan penerapan nilai-nilai yang selari dengan pendidikan Islam yang sifatnya universal.

MOHAMAD RAIMI AB. RAHIM

Presiden ABIM