Bagi menjayakan cadangan ini, satu akta khusus yang melarang isu pinjaman pendidikan dijadikan sebagai bahan, modal atau kempen politik harus diwujudkan.

Dengan adanya akta khusus ini, mana–mana ahli politik atau parti politik tidak lagi boleh menjadikan isu pinjaman pendidikansebagai isu politik setiap kali tibanya musim pilihan raya.

Sekiranya akta khusus ini wujud, mereka tidak boleh lagi meletakkan isu pinjaman pendidikan dalam manifesto politik pilihan raya. Sekiranya mereka masih berdegil berbuat demikian, ahli politik serta parti politik berkenaan boleh dikenakan denda atau hukuman penjara.

Isu pendidikan khususnya yang berkaitan dengan pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sentiasa mendapat tempat dalam permainan politik negara ini sejak ia ditubuhkan lebih 20 tahun lalu.

Baru–baru ini, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri melahirkan kekecewaan terhadap isu pinjaman PTPTN yang tidak dibayar balik.

Dr. Mahathir berkata, kebanyakan peminjam telah mempunyai pekerjaan dan memperoleh pendapatan sendiri namun masih tetap tidak mahu membayar hutang PTPTN.

Walaupun begitu, kita juga harus ketahui kenapa sesetengah peminjam begitu liat mahu membayar balik pinjaman mereka, selain daripada isu integriti dan sikap tidak amanah seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri.

Para peminjam menjadi keliru dengan isu pinjaman pendidikan yang sering dijadikan bahan, modal, kempen politik sewaktu pilihan raya. Sudah menjadi fitrah setiap manusia mengharapkan kesenangan dan kemudahan dalam hidup mereka.

Ini termasuklah dengan isu pinjaman pendidikan. Ada dalam kalangan peminjam yang sanggup menunggu ahli politik membuat janji manis mengurangkan atau memansuhkan terus pinjaman yang telah mereka buat.

Sikap sesetengah ahli politik sebegini sekali gus menyebabkan peminjam mengambil isu bayaran balik pinjaman mereka dengan mudah serta sambil lewa kerana sering mengharapkan berita baik terhadap pinjaman yang telah dibuat.

Para peminjam sanggup menunggu setiap kali tibanya musim pilihan raya untuk mengharapkan janji–janji manis ahli politik.

Isu pinjaman pendidikan tidak sepatutnya dipolitikkan lagi dalam negara kita kerana ia melibatkan masa depan peminjam itu sendiri serta bakal peminjam lain.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW

USIM