Yang pasti, setiap berita yang diterima mesti ditentukan sumbernya supaya berita-berita berkenaan tidak mendatangkan mudarat kepada masyarakat atau mencemar kehormatan orang lain. Al-Quran sendiri mengingatkan kita agar sentiasa berhati-hati apabila menerima sesuatu berita.

Maksud firman Allah SWT: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka selidiklah kebenarannya, agar kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu-sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”-al-Hujurat ayat 6.

Dalam ayat itu, jelas sekali bahawa Allah SWT memerintahkan setiap orang beriman mesti mengambil sikap berwaspada dengan memastikan kebenaran berita yang disampaikan kepada kita melalui apa jua platform. Maknanya, wajib ke atas orang mukmin itu berhati-hati ketika menerima apatah lagi menyebarkan sesuatu berita yang tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Sejak zaman Rasulullah SAW lagi, individu berjiwa kotor yang terdiri daripada golongan fasik dan munafik amat gemar menyebarkan berita palsu. Tujuannya, mereka mahu mencipta permusuhan, mencemarkan kehormatan seseorang atau mencetuskan konflik dalam masyarakat.

Oleh itu, tidak hairanlah golongan fasik ini sering memperbesar-besarkan isu dengan menokok tambah cerita yang tidak benar sehingga mencetuskan kegelisahan dalam kalangan masyarakat. Situasi ini berlaku sehinggalah sekarang.

Kalau orang bertanya, siapakah orang fasik ini? Jawabnya, orang fasik adalah orang yang secara sedar melanggar ajaran Islam. Mereka dianggap telah menyimpang daripada ketaatannya kepada Allah SWT dan Rasul-Nya selain cenderung melakukan maksiat.

Sememangnya menyebarkan berita palsu, pembohongan dan fitnah adalah termasuk perkara mungkar dan maksiat yang amat ditegah oleh Islam. Justeru, ayat tersebut menjadi peringatan kepada kita agar sentiasa menyiasat dan meneliti terlebih dahulu setiap berita yang disampaikan.

Berkaitan isu sama saya turut menyokong penuh syor yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar satu undang-undang baharu diwujudkan bagi mengekang penularan berita-berita palsu. Langkah itu penting kerana undang-undang tersebut boleh djadikan sebagai alat untuk mengawal selia dan membendung penyebaran berita palsu yang kini semakin menjadi-jadi.

Apa pun seperti yang pernah dinyatakan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak tindakan penguatkuasaan bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian bagi menangani isu tersebut tetapi perlu digemblengkan dengan pendidikan agar platform digital ini akhirnya dapat digunakan secara berhemah serta bijaksana.

MOHD. AYOP ABD. RAZID

Selayang Baru