Adakah dengan kewujudan IPCMC ini kerajaan yakin akan memberi jaminan 100 % tiada lagi kesalahan tatatertib akan dilakukan anggota polis.

Atau kerajaan harus merangka satu kajian holistik untuk mengenalpasti apakah masalah anggota polis yang melakukan kesalahan disiplin.

Agensi sedia ada sudah memainkan peranannya seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), SIAP, SUHAKAM, BPA, JIPS dan badan-badan NGO yang memain peranan memastikan polis melaksanakan tugas mengikut landasan betul.

Namun adakah ia tidak mencukupi dan apakah keperluan kerajaan hendak wujudkan IPCMC semata-mata untuk menghentam pasukan Polis sahaja.

Kerajaan harus sedar isu keselamatan negara terletak di bahu pasukan polis, kewujudan IPCMC ini akan melemahkan semangat anggota polis dalam melaksanakan tugas dengan baik.

Ini kerana anggota yang bertugas di lapangan akan bertugas seperti “melepaskan batuk di tangga” kerana bimbang tohmahan dan niat jahat seseorang kepada anggota polis itu.

Ditakuti ia akan diambil perhatian serius pihak IPCMC untuk menjalankan siasatan tatatertib walaupun anggota polis tersebut menjalankan tugas berlandaskan undang-undang.

Adakah kewujudan IPCMC ini untuk melemahkan kuasa orang Melayu kerana majoriti anggota polis berketurunan Melayu dan secara tidak langsung orang politik bebas melakukan apa sahaja.

Atau di sebalik kewujudan ini merupakan jalan mudah untuk mengikat polis agar mengikut telunjuk ahli politik tertentu.

Kerajaan harus sedar bahawa kesusahan dan kebajikan anggota polis seharusnya diberi keutamaan dengan memastikan semua keperluan asas telah mencukupi untuk anggota polis melaksana tugas harian.

Masih banyak lagi keperluan anggota polis yang tidak mencukupi seperti kemudahan berek, kenderaan rondaan, senjata api terkini, bekalan kertas, komputer, printer, menaik taraf Polis Reporting System (PRS), membekalkan Ipad pada setiap anggota polis untuk mengesan kenderaan yang hilang.

Ini memandangkan kenderaan hilang merupakan jenayah indeks paling tinggi di Malaysia serta lain-lain kemudahan yang kerajaan sudah mengetahui apa perlu dibekalkan kepada Polis.

Agensi sedia ada sudah mencukupi untuk memantau pasukan polis, dengan kewujudan IPCMC ini memberi ruang kepada orang luar untuk mendedahkan maklumat keselamatan yang ada pada pihak polis.

Isu keselamatan tidak boleh dipandang remeh, kekuatan negara terletak pada pasukan keselamatan, kelemahan anggota polis akan memberi ruang kepada penjenayah untuk melakukan perbuatan jenayah dan memberi impak besar kepada keharmonian negara.

Banyak sekali isu berkenaan penjenayah diberi pembelaan dan anggota polis dikenakan tindakan tatatertib dan secara tidak langsung membuatkan penjenayah akan terus melakukan aktiviti jenayah tanpa menghiraukan tindakan undang-undang.

Ini kerana polis sudah dilihat lemah dan penjenayah boleh gunakan IPCMC untuk membela mereka.

Kerajaan seharusnya menerokai permasalahan pasukan polis dengan mencari solusi dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Apakah peranan Jakim yang menempatkan ustaz dan ustazah di PDRM untuk menyuntik keimanan kepada setiap anggota polis agar bekerja dengan penuh iltizam.

Oleh itu, dalam suasana hari ini, kerajaan PH harus menguatkan sistem keselamatan negara dengan lebih kondusif.

Anggota polis yang bermasalah merupakan angka kecil dan janganlah membazirkan wang kerajaan dengan mewujudkan IPCMC ini untuk perkara kecil. Sudah cukup agensi sedia ada dalam memantau pasukan polis.

HASSAN KARIM

Pemantau Isu Keselamatan dan Ketenteraman Awam