Terdapat lima elemen asas yang sepatutnya berada dalam keadaan seimbang iaitu diet sihat, rehat mencukupi, senaman mengikut kadar ditetapkan, bijak mengendalikan tekanan dan memastikan kandungan hormon tidak terlalu rendah atau tinggi.

Pertama, pastikan diet (makanan dan minuman yang diambil setiap hari) adalah seimbang.

Antara makanan perlu dielakkan adalah gula kerana jika diambil secara berlebihan akan membentuk kolesterol jahat yang boleh menyumbat salur darah.

Kandungan fruktosa dalam gula terutama gula putih akan dipecahkan dalam badan menjadi asid urik yang seterusnya menyebabkan gout.

Bahan makanan lain yang harus dikurangkan adalah yang mengandungi banyak karbohidrat seperti nasi, roti dan mi.

Perlu diambil banyak adalah sayur-sayuran. Buah-buahan boleh diambil tetapi dalam kuantiti sedikit seperti hanya sebiji epal pada waktu pagi kerana makanan itu mengandungi fruktosa.

Makanan berprotein seperti telur, ikan, makanan laut, daging dan ayam pula harus diambil dalam kuantiti banyak bagi membantu badan membaik pulih sel rosak.

Kedua, seseorang itu harus memastikan diri mereka mendapat rehat mencukupi dengan tidur yang panjang selama lapan jam sehari.

Bagi elemen ketiga dan keempat yang menyentuh mengenai senaman dan kawalan tekanan terdapat banyak teknik diperkenalkan pelbagai pihak yang boleh dipelajari dengan membaca buku dan melayari internet.

Mengenai elemen kelima berkenaan keseimbangan hormon, seseorang itu hendaklah mengambil banyak makanan mengandungi lemak sihat.

Sebenarnya, mengambil lemak sihat seperti santan dan makanan kaya asid lemak, Omega 3, tidak menyebabkan saluran darah tersumbat sebaliknya akan membantu meningkatkan kandungan hormon dalam badan kita.

Bahan-bahan yang kaya Omega 3 adalah ikan, makanan laut dan telur ayam kampung.

DR. NORZAIDI ZAKARIA

Biro Media Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim)