ANWAR IBRAHIM
ANWAR IBRAHIM 

Keadaan politik dan ekonomi Malaysia pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kini dilihat cukup membingungkan rakyat.

Kejutan kemenangan oleh Pakatan Harapan (PH) yang diharap disusuli dengan kos sara hidup lebih rendah, pemansuhan tol, hutang peneroka Felda dan pinjaman
PTPTN, akhirnya hancur dengan kenyataan bahawa janji PRU-14 lalu hanya direka bentuk dengan anggapan PH tidak akan memenangi PRU tersebut.

Ini bermakna, janji itu bukan untuk rakyat sebaliknya untuk PH menguasai Putrajaya semata-mata.

Apa pun, rakyat Malaysia tidak boleh memutarkan balik jarum jam dan hari yang berlalu.

Kesilapan lalu tetap menjadi sebahagian daripada sejarah dan tidak boleh diubah lagi.

Apa yang boleh dilakukan adalah dengan memulakan usaha perubahan sebenar dan memastikan kerosakan dalam tempoh lima bulan pertama pentadbiran baharu ini tidak menjadi lebih buruk dari hari ke hari, sehingga akhirnya membebankan kepemimpinan selepas ini untuk memperbetulkannya semula.

Cara terbaik adalah dengan mengembalikan semula semangat dan aura reformasi sebenar.

Justeru, pelan penggantian kepemimpinan kepada Anwar yang lebih jelas, pantas dan licin akan mempercepatkan lagi proses pemulihan negara.

Memang ramai yang ternanti-nantikan perubahan ini.

Diharap, perubahan kepemimpinan itu kelak akan memastikan agenda negara terus dibela.

Ini termasuk isu pendidikan, penjawat awam, inflasi, kenaikan harga barang dan banyak lagi.

Rakyat sebenarnya tidak kira siapa yang akan memerintah dan mentadbir negara ini.

Apa yang penting ialah pembelaan terhadap rakyat terutama golongan miskin terus dibelas.

Jika benarlah Anwar memperbaiki dan memperbetulkan pentadbiran kerajaan pada masa ini, tidak salah jika jawatan Perdana Menteri itu diserahkan kepada beliau.

Saya rasa, Anwar pun sudah bersedia untuk menerajui kepemimpinan negara.

Dengan pengalaman yang luas dimiliki oleh Anwar, ramai yakin bahawa beliau mempunyai idea untuk membawa negara Malaysia lebih jauh ke hadapan.

Oleh itu, orang di sekeliling Anwar hendaklah membantu dan memberi sokongan kepada beliau.

Pengemis Soh

Bangsar, Kuala Lumpur