Pencemaran yang berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu itu bukan saja menyebabkan sungai tersebut dipenuhi sampah sarap dan berbagai bahan buangan tetapi juga airnya menjadi hitam pekat serta berbau busuk.

Tinjauan SAM baru-baru ini mendapati segala hidupan yang terdapat di dalam sungai berkenaan telah pupus dan pokok-pokok bakau yang terdapat di sepanjang sungai ini turut terjejas pertumbuhannya kemungkinan berpunca dari pencemaran tersebut.

SAM kesal walaupun masalah itu sudah lama berlaku tetapi sehingga sekarang tidak ada tindakan berkesan diambil pihak terbabit sehingga pencemaran semakin serius. Pihaknya khuatir masalah itu akan menjejaskan kesihatan orang ramai jika punca pencemaran itu tidak ditangani segera dengan penguatkuasaan undang-undang.

Perkara penting yang perlu diberi perhatian utama oleh pihak berkaitan adalah sistem pembuangan sampah, air kumbahan dan sisa minyak dari kawasan perumahan, premis perniagaan serta bengkel membaiki kenderaan supaya lebih terkawal dan sempurna.

Pihak berkenaan juga perlu melakukan pemantauan secara menyeluruh dan mengenal pasti jika terdapat kilang industri di kawasan ini yang melepaskan sisa buangan ke dalam parit dan sungai di sini sehingga keadaan pencemaran bertambah meruncing.

SAM bimbang jika pencemaran di Sungai Petani itu tidak dikawal dan diambil tindakan dengan berkesan akan turut mencemarkan Sungai Merbok dan mengancam hutan paya bakau yang terdapat di sepanjang sungai itu.

Justeru SAM berharap kerajaan Kedah, pihak berkuasa tempatan dan jabatan serta agensi bertanggungjawab memberi perhatian sewajarnya terhadap masalah ini dan mengambil tindakan segera bagi mengatasinya.

 

S.M. MOHAMED IDRIS

Presiden SAM