SETINGGI-TINGGI penghargaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) apabila berjaya melakukan tangkapan rasuah serta memerangi pelbagai jenayah besar dan serius.

Sudah terlalu banyak kisah tentangnya dipaparkan di media dan kita masih tertunggu-tunggu proses perbicaraan di mahkamah dan kadar hukumannya jika sabit kesalahan.

Nampaknya belum ada lagi. Mahkamah hanya sekadar kenakan jaminan kepada mereka yang ditahan untuk bebas daripada tahanan.

Mereka yang dikatakan menerima rasuah atau salah guna kuasa masih lagi bebas di luar sana.

Mungkin kita tidak cukup mahkamah dan hakim.

Sebagai contoh kes melibatkan bekas Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Datuk Bakaruddin Othman yang baru sahaja selesai pada 17 Februari 2017.

Ini kes kecil yang membabitkan dakwaan suapan sebanyak RM26,500 saja.

Persoalannya, bagaimana pula dengan kes melibatkan jerung-jerung yang ditahan pada 2016?

Mutakhir ini terdapat beberapa tangkapan kes rasuah membabitkan pihak atasan dan harta-harta yang dirampas jika dicampur kesemuanya boleh mencecah berbilion ringgit.

Tidak tahulah berapa lama Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad boleh bertahan.

Apa pun ketegasan yang ditunjukkan oleh Dzulkifli mendapat sokongan daripada rakyat dan inilah yang ditunggu-tunggu selama ini.

Belum pernah pegawai tertinggi SPRM bercakap dalam nada sebegini keras.

Dalam perkembangan berkaitan golf dikatakan menjadi sebab berlakunya rasuah sehingga Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa dan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali memberi amaran agar pegawai-pegawai kerajaan tidak bermain golf dengan pihak berkepentingan.

Sebenarnya rasuah boleh berlaku di mana-mana, barangkali lebih banyak di luar padang golf. Lagi banyak projek dan kontrak, lagi rancak rasuah.

Saya juga ingin menyentuh budaya rasuah dalam kalangan generasi muda yang disifatkan sebagai membimbangkan.

Mungkin berpunca daripada budaya hedonisme dan mungkin juga mereka terpengaruh dengan kemewahan yang diperagakan oleh orang di sekeliling mereka.

Berdasarkan laporan sejak tahun 2009 hingga April 2015 terdapat 2,451 belia ditangkap kerana menerima atau memberi rasuah selain melakukan jenayah menipu.

Kita bimbang sekiranya gejala rasuah dalam kalangan generasi muda ini semakin berlarutan. Sesuatu perlu dilakukan agar mereka akhirnya membenci rasuah.

Untuk makluman semua, kira-kira 45 peratus iaitu hampir separuh daripada penduduk negara ini adalah golongan belia.

Merekalah yang akan mengambil alih bidang korporat dan pentadbiran kerajaan dan juga politik.

Bayangkan apa akan jadi jika semakin ramai belia kita terlibat dalam rasuah?

NOOR AZAM

Sungai Penchala