Sejak 50 tahun lalu, mikrozarah plastik atau mikroplastik telah digunakan dalam produk kecantikan bagi menggantikan penggunaan bahan asli dalam pelbagai rumusan produk dandanan diri.

Zarah mikroplastik ini ada yang sekecil satu mikrometer (satu per sejuta daripada satu meter) hingga kepada nisbah saiz nanometer.

Mikroplastik digunakan dalam pelbagai rumusan ‘sapu dan bilas’ seperti deodoran, syampu, pelembut fabrik, gel mandian, gincu, pewarna rambut, krim pencukur, pelindung matahari, pembunuh serangga, krim pencegah kedutan, pelembap, semburan rambut, topeng muka (mask), produk penjagaan bayi, pembayang mata dan maskara.

Bahan ini digunakan bagi pelbagai tujuan seperti membantu penyerapan bahan aktif, pembentukan filem (lapisan nipis), pengelupasan, mengawal kelikatan serta pelbagai kegunaan lain.

Mikroplastik dan ramuan plastik lain terkandung dalam pelbagai produk dengan peratusan yang berbeza iaitu daripada kurang satu peratus kepada melebihi 90 peratus.

Berikutan saiz yang begitu halus, zarah-zarah ini mengalir terus ke dalam longkang dan menyerap masuk ke dalam sumber air bawah tanah hingga menyumbang kepada pencemaran plastik dalam lautan serta sumber air kita.

Satu tinjauan yang dijalankan oleh CAP mendapati label produk kegunaan harian seperti gel mandian dan skrub muka menyatakan ia mengandungi mikroplastik.

Terdapat juga produk mengandungi sebatian plastik dilabel sebagai ‘acrylates’ yang menunjukkan produk ini mengandungi bahan mikroplastik.

Produk yang melabelkan mikroplastik sebagai bahan ramuan rata-ratanya dihasilkan di luar negara. Bagaimanapun, kebanyakan produk tempatan tidak dilabel dengan sempurna bagi menunjukkan penggunaan mikroplastik.

Memandangkan produk kosmetik yang dikeluarkan di Malaysia tidak melabel sepenuhnya bahan ramuan yang digunakan, pengguna sukar untuk mengelak produk yang mengandungi mikroplastik.

Menurut kajian yang dijalankan oleh Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), mikroplastik yang mengalir ke dalam longkang dan salur kumbahan tidak boleh dikumpulkan semula atau dikitar semula malah tidak terurai dalam pusat rawatan sisa kumbahan.

Sebaliknya, bahan tersebut akan masuk ke lautan dan mungkin mengambil masa ratusan tahun untuk mengurai.

Hasil kajian menunjukkan zarah mikroplastik juga boleh menyerap dan membebaskan bahan kimia toksik seperti bahan cemar organik kekal (POP) jenis dichlorodiphenyltrichloroethane (DDT) dan polychlorinated biphenyls (PCB).

Mikroplastik yang toksik ini mudah dimakan oleh hidupan laut seperti ikan, kepah dan organisma akuatik lain seterusnya mencemarkan rantaian makanan laut serta mendedahkan manusia kepada risiko kesihatan.

Beberapa kajian juga menunjukkan mikroplastik yang berada di dalam laut mampu membunuh ikan dan menghalang pembesarannya.

Sesetengah ikan yang masih kecil didapati lebih menggemari zarah plastik yang halus ini berbanding sumber makanan semula jadi, hingga memudaratkan pembesarannya sebelum sempat membiak.

Mikroplastik dalam persekitaran laut juga berpotensi bergerak dalam jarak yang jauh dengan terapung di permukaan air laut atau menjadi mendapan di dasar laut.

Tindakan yang diambil oleh beberapa negara lain terhadap penggunaan mikroplastik termasuk:

  • Kerajaan Britain akan memperkenalkan pengharaman mikroplastik daripada semua produk kosmetik menjelang penghujung 2017. Penjualannya akan diharamkan di Britain pada penghujung tahun ini.
  • Illinois menjadi negeri pertama di Amerika Syarikat yang menetapkan undang-undang mengharamkan pengeluaran dan penjualan produk yang mengandungi mikroplastik. Pengharaman yang dibahagikan kepada dua bahagian itu akan berkuat kuasa pada 2018 dan 2019.
  • Austria, Belanda, Belgium, Luxembourg dan Sweden membuat gesaan bersama ke arah mengharamkan penggunaan mikroplastik dalam produk dandanan diri.
  • Beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan dalam ASEAN, menerusi rayuan dalam talian turut menggesa pengharaman serantau mikroplastik dalam pengeluaran produk kosmetik.

Sehubungan dengan ancaman dan bahaya yang dikaitkan dengan mikroplastik, CAP menggesa pihak berkuasa Malaysia juga melarang serta-merta pengeluaran, pengimportan, pengedaran dan penjualan produk kecantikan yang mengandungi bahan tersebut.

S.M. MOHAMED IDRIS

Presiden CAP