Menurut Jabatan Perangkaan, hanya 54.7% wanita berada dalam sektor pekerjaan berbanding 80.7 % lelaki. Selain itu, kira-kira separuh daripada pekerja sektor profesional dan teknikal adalah wanita.

Bagaimanapun, hanya 22.2 % wanita menyandang jawatan tertinggi di peringkat pengurusan.

Secara puratanya, wanita memperoleh RM9.38 bagi setiap ringgit yang diperoleh oleh lelaki. Perwakilan wanita yang setara dengan lelaki dalam jawatan kepemimpinan di setiap peringkat masyarakat masih belum dapat dilihat.

Antara 100 syarikat terbesar di Bursa Malaysia, hanya 23.2 % ahli lembaga pengarah dilantik dalam kalangan wanita. Selain itu, hanya 13.9 % wanita menduduki kerusi di Parlimen.

Situasi ini secara jelas menunjukkan kepada kita bahawa semua pihak perlu mengambil langkah untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam politik dan kepemimpinan negara.

Dengan penyertaan Malaysia dalam Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (Cedaw) pada 1995, kerajaan mempunyai tanggungjawab sosial untuk menggubal rang undang-undang iaitu pertama, bagi mengiktiraf kesaksamaan gender dan kedua, mengenakan hukuman terhadap pihak yang melakukan gangguan seksual.

Setelah 24 tahun menyertai konvensyen ini, akhirnya kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah mengambil langkah menggubal kedua-dua rang undang-undang berkenaan.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berharap proses penggubalan rang undang-undang ini dipercepatkan dan segera dibentangkan pada sesi sidang Parlimen tahun ini.

Skop kedua-dua rang undang-undang ini juga perlu diperluaskan. Selain wanita dan kanak-kanak perempuan, ia juga perlu melibatkan komuniti Orang Asli, pelarian, pekerja asing dan mangsa pemerdagangan manusia.

TAN SRI RAZALI ISMAIL

Pengerusi Suhakam