PAPARAN Utusan Online pada pukul 3.56 pagi kelmarin memaklumkan penemuan mayat Adam Rayqal dalam peti ais di rumah pengasuhnya di Batu Caves, Selangor.

Ajal maut di tangan Tuhan tetapi situasi bagaimana bayi malang itu ditemui sungguh meruntun jiwa sesiapa sahaja yang mempunyai anak, apatah lagi ibu bapa Adam Rayqal sendiri.

Saya sendiri tidak dapat membayangkan dugaan begitu berat, kehilangan anak kecil tidak sampai lima bulan selepas dilahirkan. Buat masa ini, biarkan polis menyiasat dahulu untuk mendapatkan kisah sebenar.

Pada masa sama, insiden ini menguatkan hujah untuk menyediakan pusat asuhan kanak-kanak di tempat kerja dan perlu diberi pertimbangan segera oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail merangkap Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga.

Sebagai ibu bapa, pekerja sanggup mengeluarkan berapa sahaja belanja untuk memastikan anak-anak terjaga dan selamat. Jika tidak mampu, mereka sanggup menjadi suri rumah sepenuh masa dan itu hanya akan merugikan sektor pekerjaan dan juga negara.

Penyediaan pusat asuhan di tempat kerja sepatutnya sudah lama diwajibkan ke atas semua majikan. Kerajaan juga boleh menyediakan rebat cukai atau insentif lain bagi mendorong penyertaan majikan dari pelbagai sektor pekerjaan.

Sekurang-kurangnya ibu bapa dapat menjenguk keadaan anak dari semasa ke semasa malah mengelakkan mereka menghabiskan masa melepak di kantin atau pantri kerana akan menggunakan masa lapang bersama anak.

Harap kerajaan membantu majoriti pekerja, khususnya wanita, yang tersepit antara memilih kerjaya atau anak. Apa guna ada pekerjaan hebat dan gaji besar jika anak kecil menjadi pertaruhan.

Dengan kadar semasa penjagaan anak melebihi RM500 seorang setiap bulan, saya yakin campur tangan kerajaan bukan sahaja dapat mengurangkan kos ditanggung ibu bapa malah lebih penting lagi memberi kelegaan mengenai keselamatan anak kepada pekerja.

BAPA TUNGGAL

Putrajaya