Selaras dengan pertambahan bilangan OKU, maka lebih banyak kemudahan mesra golongan itu seharusnya dibina. Namun dalam keghairahan mengejar keperluan permintaan yang semakin meningkat dalam kalangan golongan normal, kita seolah-olah lupa kepada tanggungjawab sosial yang perlu diambil kira dalam setiap pembangunan tersebut.

Pemaju sering bermotif untuk mendapat keuntungan yang maksimum sehinggakan penyediaan kemudahan OKU hanya sekadar memenuhi syarat minimum. Kesannya, tidak berlaku kesinambungan antara kemudahan OKU sekali gus menyebabkan penyediaan infrastruktur kepada golongan berkenaan terputus-putus dan tidak memberi manfaat sepenuhnya.

Misalnya, jika salah satu daripada rantaian perjalanan mereka tidak boleh diakses maka keseluruhan pergerakan mobiliti seseorang OKU akan terganggu. Contohnya, individu OKU boleh menaiki pengangkutan awam kerana ia mesra mereka tetapi di tempat kerja pula hanya ada tangga dan pusat beli-belah pula tiada lif mahupun tandas yang mesra OKU, maka rantaian tersebut akan terputus di situ.

Sewajarnya kesinambungan mobiliti dalam pergerakan seorang OKU patut dititikberatkan. Keprihatinan dan ketelitian dalam kalangan pemaju dan perancang bandar ini pastinya mampu mewujudkan persekitaran yang mesra OKU keseluruhannya.

Meskipun Jabatan Perancangan Bandar dan Desa telah mengeluarkan garis panduan berkaitan penyediaan kemudahan OKU, namun masih terdapat permasalahan lain yang wujud. Lazimnya, di atas pelan, semuanya sempurna ketika pemaju membuat permohonan kebenaran merancang tetapi apabila projek siap, lain pula jadinya. Banyak kemudahan yang disiapkan tidak memenuhi spesifikasi.

Kita perlu mencontohi inisiatif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menubuhkan satu unit audit akses kemudahan OKU bagi mewujudkan persekitaran bebas halangan di Kuala Lumpur. Jawatankuasa kerja ini berperanan menjalankan sesi simulasi dengan OKU serta mengaudit kemudahan-kemudahan awam.

Kegagalan kita untuk sensitif kepada isu ini mengakibatkan hasrat menjadikan Malaysia, sebuah negara yang mesra OKU tidak akan tercapai.

NUR AZUAN HAFIFI MOHD. NOORDIN

Penolong Pengarah Jabatan Pe- rancangan Bandar dan Desa Melaka