Sedekah adalah sesuatu pemberian yang dilakukan dengan ikhlas tanpa dibatasi oleh jumlah tertentu dengan tujuan mahu mendekatkan diri kepada Allah.

Ketahuilah, Allah melipatgandakan pahala orang yang bersedekah. Ini dapat dibuktikan melalui firman Allah dalam surah Al-Hadid ayat ke 18 yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah baik lelaki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, nescaya akan dilipat gandakan (ganjarannya) kepada mereka dan bagi mereka pahala yang banyak”.

Seperti yang kita ketahui, betapa besarnya pahala berpuasa di bulan Ramadan. Apabila kita bersedekah, kita dapat menambah pahala puasa kita dengan pahala puasa orang lain.

Sebagai contoh, amalan yang biasa orang lakukan pada bulan Ramadan adalah menyumbang wang ke masjid atau surau untuk menyediakan juadah berbuka puasa kepada jemaah yang berpuasa.

Sedekah itu tidak terbatas kepada menginfakkan wang atau harta kekayaan di jalan Allah dan memberi nafkah pada fakir miskin sahaja malah bantuan tenaga, sokongan moral dan psikologi juga adalah sedekah.

Contohnya, seseorang menyumbang tenaganya untuk membersihkan masjid atau surau bagi menjaga keselesaan jemaah yang datang ke masjid menunaikan solat lima waktu mahupun solat tarawih dan witir.

Allah sangat memuliakan hambaNya yang bersedekah. Antara keutamaan bersedekah ialah dapat menghapuskan dosa. Diriwayatkan oleh Tirmidzi, Rasulullah S.A.W bersabda : “Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api”. Jelaslah, sesungguhnya sedekah itu walaupun sedikit, Allah akan mengampuni dosa-dosa yang pernah kita lakukan dan menjauhkan kita dari api neraka.”

Di samping itu, orang yang bersedekah akan mendapat naungan di hari akhirat kelak. Nabi SAW dalam sabdanya menyebut antara tujuh golongan yang mendapat naungan Allah di akhirat kelak ialah : “Seorang yang bersedekah dengan tangan kanannya, ia menyembunyikan amalnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya”. (Riwayat Bukhari)

Jangan berasa takut untuk bersedekah kerana bimbang akan kekurangan wang. Hal ini kerana sedekah memberi keberkatan pada harta. Sedekah tidak membawa keburukan dan tidak menyebabkan kita berasa kehilangan harta.

Oleh itu, marilah bersama-sama kita merebut peluang di bulan Ramadan ini dengan bersedekah. Jika tidak mampu menyumbang harta, berusahalah menyumbang dari segi tenaga dan sebagainya.

Sesungguhnya orang yang meniatkan sebuah kebaikan, lalu mengamalkannya, Allah mencatat pahala baginya 10 sampai 700 kali ganda banyaknya. Di bulan mulia inilah Allah memudahkan kita untuk melakukan ibadah dan amal kebaikan bagi memperolehi ganjaran yang ditawarkan.

Hal ini disebabkan pada bulan Ramadan, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan dibelenggu. Akhir kalam, selamat berpuasa dan selamat menunaikan ibadah dan kewajipan kepada semua umat Islam. Perbanyakkan amal kebaikan di bulan Ramadan, nescaya Allah akan memberi ganjaran yang dijanjikan.

PENDERMA SETIA

Kedah