Isu itu dinyatakan sendiri oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd. Hashim Abdullah. Beliau menyatakan bahawa kira-kira 4.1 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi masih belum mendaftar sebagai pengundi setakat Februari lalu. Majoritinya terdiri daripada golongan muda berumur sekitar 21 tahun.

Anak muda yang dikatakan kecewa dan berputus asa dengan senario politik hari ini tidak sewajarnya mengecualikan diri sebagai pengundi. Sebaliknya, mereka perlu menunjukkan kekecewaan itu dengan cara yang positif, iaitu dengan mengundi pemimpin yang mereka yakini mampu mengubah masa depan negara ke arah yang lebih baik.

Perbalahan atau perpecahan antara parti politik dan ahli politik akan sentiasa terjadi. Hakikatnya, mengundi bukan sahaja memilih pemimpin bagi pihak rakyat malah lebih daripada itu. Tanggungjawab mengundi adalah untuk melantik wakil rakyat bagi melaksanakan tuntutan amar makruf dan nahi mungkar.

Kesatuan Ulama Sedunia yang dipengerusikan oleh Dr Yusuf Al-Qardhawi; Syeikhul Azhar, Syeikh Ahmad Tayyib dan Mufti Mesir, Syeikh Ali Jumaah turut berpandangan hukum mengundi adalah wajib. Yang pasti, memilih pemimpin adalah satu tuntutan dalam Islam dan perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

Hari ini, ramai dalam kalangan umat Islam terutama anak muda menganggap pilihan raya itu tidak penting. Oleh itu, tidak hairanlah terdapat antara anak-anak muda kita beranggapan bahawa mendaftar sebagai mengundi itu tidak membawa sebarang makna. Bagi mereka kertas undi itu hanya sekadar kertas sahaja walaupun hakikatnya kertas undi tersebut adalah dokumen yang amat penting.

Anak muda zaman sekarang hanya berminat dengan gajet dan hiburan. Mereka langsung tidak mahu terlibat sebagai kuasa penentu politik di negara. Ada juga yang berminat dengan politik tetapi malangnya tidak berdaftar sebagai pemilih.

Kesedaran politik khususnya di media-media sosial bukan kayu ukur yang sebenar. Hanya jumlah undi yang bakal menentukan siapakah pemimpin yang dipilih dan bukannya jumlah likes di Facebook atau perkongsian di Twitter. Tindakan seharusnya perlu lebih realistik dan strategik untuk memastikan kepentingan umat ini terus terbela.

Satu-satunya cara untuk memperbaiki situasi ekonomi dan politik negara ini adalah melalui perubahan dalam pilihan raya akan datang dan setiap rakyat Malaysia tidak sepatutnya memandang remeh hak mereka sebagai pengundi kerana ia mampu menentukan masa depan negara.

NUR AINUN NAJLA’ 
MOHD. YATIN

Universiti Sains Islam Malaysia