Sebagai seorang yang cakna dengan isu rasuah yang dilaporkan di media setiap hari, saya menyokong penuh cadangan ini.

Sudah tiba masanya untuk kerajaan memberi perhatian khusus terhadap cadangan ini dan setiap lapisan masyarakat pula seharusnya menyambut baik perkara berkenaan demi memastikan negara kita ini dapat dibersihkan daripada anasir jahat khususnya melibatkan rasuah.  

Ketika ini, kita sepatutnya berasa sedih kerana masyarakat masih memandang ringan kesan rasuah apatah lagi dengan hukuman penjara bukan mandatori.

Bayangkan pesalah rasuah boleh tersenyum apabila keluar dari mahkamah setelah dikenakan hukuman penjara sehari dan denda RM10,000. Ini menunjukkan seolah-olah hukuman ringan ini tidak memberi apa-apa kesan kepada mereka.

Mungkin kita tidak sedar bahawa jenayah rasuah adalah ‘ibu’ segala jenayah dan boleh meruntuhkan serta mengundang ketidakstabilan sesebuah negara.

Misalnya, seseorang penguat kuasa menerima rasuah untuk membenarkan kemasukan dadah, senjata api, pendatang asing tanpa izin (PATI) dan penyeludupan, maka yang akan menerima kesan buruk ialah masyarakat sendiri kerana berisiko terdedah kepada kes rompakan, pembunuhan, masalah sosial atau masalah dadah yang tidak pernah selesai.

Bukan itu sahaja, bayangkan kesan buruk kepada masyarakat sekiranya sebuah bangunan atau sekolah yang dibina tidak mengikut spesifikasi kerana perbuatan rasuah antara pemaju dan pihak berkuasa, lalu runtuh hingga mengorbankan nyawa.

Bayangkan juga seseorang yang tidak layak memandu kenderaan diberikan lesen memandu kerana bayaran rasuah dan mengakibatkan kemalangan maut.

Ini belum diambil kira kesan rasuah terhadap sistem ekonomi negara apabila terlampau banyak ketirisan, pembaziran dan penyelewengan projek rakyat. Kesan daripada aktiviti rasuah ini amat dahsyat dan tidak boleh dinilai hanya dengan jumlah wang yang bertukar tangan.   

Misalnya kesalahan jenayah yang melibatkan pecah amanah di bawah Kanun Keseksaan, kita boleh peruntukan hukuman sebat setelah disabitkan.

Jadi, mengapa kesalahan jenayah rasuah yang memberi kesan teruk kepada negara dan masyarakat hanya memperuntukkan hukuman ringan iaitu penjara bukan mandatori?

Sewajarnya cadangan hukuman sebat dan penjara mandatori ini dilaksanakan dengan segera demi kebaikan serta masa depan negara dan rakyat.

IBI

Putrajaya