Ini kerana ketika Sabah mengalu-alukan kehadiran mereka, pelawat atau pelancong pada masa yang sama haruslah peka dengan sensitiviti kawasan yang mereka lawati khususnya berpakaian mengikut kesesuaian tempat dikunjungi.

Adalah memang tidak sesuai sama sekali apabila pelancong yang dipercayai seorang warga China hanya ‘berseluar sampak’ pada waktu puncak di tengah-tengah bandar Kota Kinabalu.

Ini bukan kali pertama perbuatan tidak sopan dilaporkan berlaku di Sabah, malah pada bulan Jun lalu, terdapat juga kes membabitkan sekumpulan pelancong yang menari-nari di atas tembok masjid.

Sebenarnya, status atau tahap kematangan intelek dan ketamadunan setiap orang boleh diukur melalui cara individu itu berpakaian. Begitulah juga agaknya pelancong yang berkunjung ke Sabah itu yang pada saya tidak menghormati langsung adat dan budaya tempatan.

Saya berpendapat sudah tiba masanya mereka yang bertanggungjawab dalam bidang pelancongan menempatkan dan mengedar risalah mengenai adat dan sensitiviti penduduk setempat.

Mungkin risalah ini boleh dikepilkan bersama peta-peta lokasi pelancong yang diedarkan di kawasan tumpuan pelancong. Peringatan ini bukan sahaja untuk Sabah, malah harus diluaskan ke seluruh negara khususnya kawasan tumpuan percutian seperti di pulau-pulau peranginan dan resort kecil mahupun besar.

Memang diakui, etika berpakaian ini ada ketikanya amat sukar diikuti oleh sekelompok manusia yang semacam tidak tahu bagaimana untuk berpakaian yang sesuai, walaupun mereka ini adakalanya kelihatan persis orang yang terpelajar.

Malah, saya sendiri pernah beberapa kali melihat sekumpulan tetamu majlis perkahwinan keluarga Melayu beragama Islam yang ‘selamba’ berseluar pendek sahaja. Tindakan ini juga jelas tidak menghormati majlis dan tuan rumah.

WAK SALAM

Kajang, Selangor