KALI terakhir BN memiliki majoriti dua pertiga dalam DUN Kedah adalah pada PRU 2004. GAMBAR HIASAN/BERNAMA

Sasaran ditetapkan adalah untuk menang 28 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekali gus membolehkan pembentukan kerajaan negeri dengan majoriti melebihi dua pertiga. BN Kedah sekarang mempunyai 20 kerusi DUN.

Pada masa sama, turut disasarkan untuk memenangi 12 kerusi Parlimen berbanding 10 kerusi sekarang.

Sasaran kerusi DUN yang lebih banyak adalah selaras dengan hasrat Pengerusi BN Kedah yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah yang mahu melihat kerajaan negeri mempunyai kekuatan dari segi bilangan kerusi melebihi majoriti dua pertiga. Kali terakhir BN memiliki majoriti dua pertiga dalam DUN Kedah adalah pada PRU 2004.

Oleh kerana sasaran yang tinggi, Ahmad Bashah tidak jemu mengadakan pertemuan dengan jentera parti pelbagai peringkat bagi memantau persiapan yang dijalankan.

Usaha bersungguh-sungguh dilakukan BN Kedah kerana tahu saingan kali ini begitu sengit disebabkan pihak pembangkang termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sangat mengidam mahu menguasai negeri itu.

Antara langkah yang telah dilaksanakan adalah giat mendaftar pengundi baharu sebanyak 90,000 orang hanya dalam masa dua tahun pada 2016 dan 2017.

Bagi memantapkan jentera kempen peringkat negeri, bahagian dan pusat daerah mengundi (PDM); sesi taklimat, latihan, kursus dan simulasi turut dijalankan untuk memastikan setiap anggota faham peranan masing-masing.

Selain menerapkan semangat luar biasa dalam kalangan jentera kempen untuk mempertahankan maruah parti, gerak kerja juga perlu diteruskan dari aspek mendekati, memberi penerangan dan meyakinkan orang muda yang membentuk sebanyak 48 peratus daripada keseluruhan 1.12 juta pengundi di Kedah.

ZAHARI MORAD

Pegawai Khas Media 
Menteri Besar Kedah