Bukan sahaja seluruh negara Islam mengutuk tindakan tidak wajar Trump dan konco-konconya itu tetapi negara-negara bukan islam turut menunjukkan simpati terhadap ke­sombongan pihak Israel dan hanya segelintir sahaja negara yang mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel di mana terletaknya Masjid al-Aqsa.

Setakat ini lebih 100 penduduk Palestin dibunuh termasuk kanak-kanak dengan kejamnya oleh askar Israel yang serba-serbi lengkap bersenjata sedangkan penduduk Palestin hanya berdemonstrasi sahaja berbekalkan batu dan lastik untuk menentang askar Israel.

Berapa lamakah rakyat Palestin terpaksa menanggung derita bukan sahaja tekanan hidup serba-serbi daif serta ancaman demi ancaman dan derita dengan bekalan makanan dan eletrik dicatukan sebegitu rupa.

Tidak puas dengan itu ada sahaja rakyat Palestin ditangkap dan diseksa dan tidak kurang juga yang hilang begitu sahaja berkemungkian telah dibunuh dengan kejam oleh rejim zionis.

Tanyalah semua rakyat Palestin di mana tiada satu keluarga pun yang boleh hidup aman kerana ada sahaja antara keluarga mereka ini yang terkorban syahid atas kekejaman askar Yahudi.

Di manakah gerangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang kini membisu seribu bahasa seolah-olah mulut mereka terkunci dan apabila semuanya musnah barulah sibuk untuk bersuara dan itu pun hanya suara sumbang berani berikan simpati sahaja dan teguran yang sudah terlambat.

Itulah yang terjadi setiap kali tentera Israel membunuh dan memusnahkan kediaman penduduk Palestin hingga menjadi padang jarak padang terkukur. Di manakah suara Liga Arab serta apakah fungsi Liga Arab yang sebenarnya kalau tidak mampu memperjuangkan hak untuk menjaga kedaulatan negara Islam.

 

HAMBA ALLAH