Sehubungan itu, Kementerian Pendidikan perlu menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk mengkaji dan melaporkan tahap masalah tersebut di sekolah-sekolah seluruh negara.

Selain penyalahgunaan dadah, kajian tersebut perlu mengambil kira masalah sosial lain yang melibatkan pelajar termasuk ponteng sekolah, merokok, buli dan gangsterisme.

Dewasa ini, semakin jelas kelihatan peningkatan tingkah laku agresif dalam kalangan belia di Malaysia tetapi malangnya kita tidak mempunyai data lengkap mengenai tahap salah laku mereka.

Kita sering membaca mengenai salah laku pelajar tetapi kita tidak mengetahui secara terperinci betapa seriusnya masalah tersebut dan implikasinya terhadap masa depan pelajar.

Dalam banyak keadaan, pengetua atau guru besar serta pihak pengurusan sekolah akan cuba menyembunyikan masalah sedemikian demi melindungi nama baik sekolah mereka.

Isu berkaitan salah laku pelajar di sekolah telah lama wujud namun tindakan agresif dalam kalangan anak-anak muda dilihat semakin meningkat mungkin kerana liputan media yang semakin meluas.

Pakar psikologi kanak-kanak dan belia mendedahkan bahawa kanak-kanak pada masa ini tidak mempunyai contoh yang baik dalam kalangan orang dewasa di rumah dan sekolah. Mereka akan cenderung mencontohi tingkah laku agresif termasuk yang dipertontonkan oleh ibu bapa dan komuniti setempat selain meniru apa yang mereka lihat di media sosial.

Sesetengah ibu bapa pula terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing dan terpaksa meninggalkan anak-anak mereka di bawah jagaan pembantu rumah atau tinggal sendirian di rumah. Ini akan menyebabkan anak-anak mereka mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya untuk melakukan perkara-perkara negatif.

Masalah sebegini juga boleh dikaitkan dengan isu kesihatan mental yang semakin merosot kerana Kajian Kesihatan dan Morbiditi Nasional 2015 menunjukkan bahawa kira-kira 4.2 juta rakyat Malaysia berumur 16 tahun ke atas mengalami masalah mental.

Oleh itu, adalah wajar untuk kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas tersebut kerana ia mampu mengkaji masalah berkaitan dan membuat analisis mendalam.

Jawatankuasa khas tersebut perlu dianggotai pakar-pakar dalam bidang berkaitan agar mereka dapat memahami situasi sebenar dan menghasilkan penyelesaian jangka panjang.

Untuk membolehkan kita memahami sepenuhnya masalah dan punca-punca tersebut, kajian menyeluruh perlu dibuat.

Hasil kajian itu nanti boleh digunakan jawatankuasa khas berkenaan untuk mencadangkan tindakan sesuai bagi membantu melindungi kepentingan pelajar dan juga melihat kelemahan sistem pendidikan negara.

 

TAN SRI LEE LAM THYE

Naib Pengerusi Kanan

Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)