Sering kali saya dan pengunjung lain menghadapi masalah untuk mendapatkan petak meletak kenderaan di perkarangan HSAJB walaupun sudah membayar caj parkir. Adakalanya, kami terpaksa meletakkan kenderaan di bahu jalan atau di mana sahaja yang berdekatan.

Berdasarkan maklumat yang saya peroleh, ruang letak kenderaan awam turut digunakan oleh kakitangan HSAJB secara percuma daripada pegawai atasan sehinggalah kakitangan sokongan. Inilah yang mengakibatkan berlaku kekurangan ruang letak kenderaan kerana ia digunakan oleh staf hospital ini yang berjumlah lebih 1,500 orang. Sedangkan petak letak kenderaan awam hanya mempunyai lebih kurang 1,300 petak.

Selama ini saya beranggapan bahawa kawasan parkir penuh disebabkan bilangan pesakit yang ramai. Ternyata sangkaan saya meleset sama kali.

Walaupun terdapat tempat letak kenderaan khas untuk kakitangan, tetapi mereka turut menggunakan kawasan parkir awam. Sekiranya kesemua kakitangan hospital dibenarkan untuk meletakkan kenderaan di kawasan awam, bagaimana pula halnya dengan orang awam yang perlu datang ke hospital bagi mendapatkan rawatan?

Bagi rakyat Johor yang datang untuk mendapatkan rawatan, kami terpaksa meletakkan kenderaan di tempat yang tidak selamat dan ada kalanya di luar perkarangan HSAJB. Bayangkan ibu mengandung, pesakit kronik, warga emas serta golongan OKU yang terpaksa meletakkan kenderaan di tempat yang jauh. Sedangkan kawasan tempat letak kenderaan dipenuhi kakitangan HSAJB.

Sikap mementingkan diri ini amat dikesali. Adalah diharapkan pihak pengurusan HSAJB dapat membantu menyelesaikan masalah ini demi kemudahan rakyat terutama pesakit.

ALI AHMAD BASHIR

Johor Bahru