Ini akan membolehkan MC atau JMC membawa mereka kepada Mahkamah Tribunal COB dan jika didapati salah, harta dan aset mereka boleh dirampas.

Bagaimanapun, jika MC dan JMC tidak terdiri daripada profesional atau berfungsi secara profesional mahupun tidak bertanggungjawab, Akta 757 mungkin boleh disalah guna seperti mana yang berlaku kepada Pangsapuri Le Chateau II di Seputeh.

Baru-baru ini, JMC melaksanakan projek untuk mengecat dua blok pangsapuri dan meminta setiap unit membayar RM2,200! Mereka mendakwa telah mendapat majoriti dua pertiga untuk meneruskan projek itu tanpa menunjukkan bukti.

Apabila projek sudah bermula, lebih daripada separuh penghuni tidak membayarnya. Kos RM2,200 ini adalah bayaran tambahan kepada caj penyelenggaraan dan caj bulanan lain.

Kemudian, JMC mengancam untuk menggunakan Borang 11 untuk membawa penduduk ke Tribunal COB dengan menyenaraikan ‘tunggakan’ sebanyak RM2,200 ditambah caj palsu sebanyak RM150 tanpa menyatakan jenis caj yang dikenakan.

Ini memberikan gambaran bahawa penduduk telah mempunyai tunggakan yang tinggi dalam caj penyelenggaraan bulanan mereka.

Para anggota JMC turut mengancam dan memaksa penduduk dalam setiap prosedur pentadbiran dengan mendakwa ‘ini adalah keputusan kerajaan’ malah mereka mencabar penduduk untuk menyaman mereka jika tidak gembira dengan kaedah tersebut.

Apa yang saya bimbangkan adalah bahawa mengikut Akta 757 itu, JMC mungkin boleh memaksa penduduk untuk terus mengeluarkan wang tambahan bagi mana-mana projek baharu yang mereka rancang sesuka hati.

Dalam suasana kos sara hidup tinggi sekarang, bukanlah senang untuk penduduk membayar sejumlah besar RM2,200 untuk kerja mengecat yang boleh bertahan selama lima atau tujuh tahun sahaja.

Selepas tujuh tahun, adakah projek itu akan diulang lagi? Yang pasti, semua ini akan membebankan penduduk yang berfikir mereka harus mematuhi ‘arahan’ sama ada suka atau tidak.

Jika membantah, diugut pula di samping ada risiko undang-undang tidak menyebelahi penduduk sekalipun MC atau JMC yang salah guna kuasa dan gagal laksana tanggungjawab mereka.

Berapa banyak MC dan JMC yang diberikan kuasa untuk melakukan sesuka hati mereka tanpa memberi penjelasan jelas dan mengikut prosedur?

Penduduk yang kebanyakannya tidak tahu atau tidak peduli dengan perihal perundangan harus dilindungi sehingga mereka mengetahui hak masing-masing supaya tidak dibuli oleh MC atau JMC.

Dua tahun lalu, pengerusi kondominium Pulau Pinang tempat saya tinggal telah disiasat polis. Walaupun saya tidak tahu hasil siasatan, perbincangan dengan rakan dan saudara-mara saya menunjukkan penyalahgunaan kuasa berleluasa di beratus-ratus MC dan JMC di negara ini.

Oleh itu, akta yang baik ini boleh disalah gunakan untuk menimbulkan budaya penyelewengan di bawah nama ‘pemerintah yang tepat’. Harap pihak berwajib ambil maklum dan jangan biarkan perkara ini berterusan di mana-mana bangunan kediaman di seluruh negara.

PENGHUNI ML

Le Chateau II Apartments, Kuala Lumpur