Tindakan pantas pihak polis mengawal keadaan dengan membuat beberapa tangkapan serta menempatkan sebanyak 700 anggota dan pegawai di lokasi kejadian bagi memantau keadaan dari semasa ke semasa, patut dipuji.

MCA menggesa semua pihak menghentikan segala bentuk spekulasi dan khabar angin, terutamanya yang menyatakan kononnya rusuhan kaum telah berlaku, kerana ini hanya akan menghuru-harakan masyarakat serta mengganggu tugas pihak polis menjalankan siasatan.

Apa pun puncanya, pihak perusuh tidak sepatutnya mencederakan serta merosakkan harta-benda orang lain. Segala pertikaian dan salah faham sepatutnya diselesaikan secara baik melalui perbincangan dan saluran undang-undang, bukannya melalui kekerasan yang akhirnya tidak menguntungkan sesiapa pun.

MCA menggesa dan menyokong pihak polis menjalankan siasatan yang terperinci dan mengambil semua langkah perlu bagi mengembalikan ketenteraman di kawasan berkenaan.

CHAN QUIN ER

Pengerusi Biro Publisiti MCA