Malangnya, agak sukar cadangan daripada koperasi baharu yang mempunyai anggota dalam kalangan bekas ahli korporat diterima pihak yang memantau perjalanan koperasi.

Misalnya, masih banyak institusi pemberi pinjaman menggunakan kaedah lama dengan meletakkan syarat setiap koperasi yang ingin meminjam perlu beroperasi sekurang-kurangnya tiga tahun dan menunjukkan prestasi kewangan meyakinkan sebelum diluluskan pinjaman.

Sedangkan kaedah global mengukur kebolehan sesuatu organisasi membayar balik pinjaman terletak kepada model perniagaan yang dicadangkan.

Sekiranya sesebuah koperasi mendapat kontrak membekalkan sesuatu barangan, pembayarannya berbentuk bercagar seperti letter of credit atau jaminan bank. Maka, dengan kepakaran yang ada dalam kalangan anggota koperasi, pihak pemberi pinjaman haruslah mempertimbangkan dan bukan terus menolak permohonan mengikut kaedah lama.

Oleh itu, selain daripada data yang ada, pihak pemberi pinjaman perlu menemu duga kebolehan dan kewibawaan pengurusan koperasi tersebut sebelum kemudahan kewangan diluluskan.

Konsep perniagaan global lebih mudah kerana setiap bayaran penuh daripada pelanggan koperasi boleh terus dikreditkan kepada institusi kewangan yang memberi pinjaman.

Dengan modus perniagaan sebegini, risiko semua pihak sama ada koperasi dan pemberi pinjaman dapat dikurangkan dan kaedah ini dapat merancakkan lagi perniagaan produk koperasi dalam dagangan global.

TENGKU MAN

Senawang