Antara isu ini melibatkan air tidak berhasil (NRW) yang masih lagi tinggi. Pada 2020, kita akan berada pada penghujung Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) tetapi jumlah NRW masih pada kadar 30 peratus iaitu angka sama yang dicatatkan semasa RMK-8. NRW yang tinggi akan menyebabkan syarikat pembekal perkhidmatan air kehilangan sumber pendapatan.

Kelewatan penstrukturan semula industri perkhidmatan air adalah faktor penyumbang kepada tahap NRW tinggi apabila proses menaik taraf sistem paip tidak dapat dilaksanakan. Sasaran Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang menetapkan paras NRW kebangsaan pada 25 peratus menjelang 2020 tidak akan tercapai kerana tiada usaha dilakukan untuk menangani perkara ini sejak penubuhan SPAN pada 2008.

Sehubungan itu pihak kami ingin mencadangkan Pelan Tindakan Pengurangan NRW Kebangsaan yang disyorkan Awer diaktifkan semula untuk memastikan air terawat tidak terbuang akibat daripada pengurusan tidak cekap.

Dalam pada itu, pihak kami berharap kerajaan menamatkan pelantikan pihak luar sebagai ahli Suruhanjaya SPAN. Pada masa ini, sektor perkhidmatan air di Sabah dan Sarawak tidak dikawal selia oleh SPAN. Oleh itu, wakil dari Sabah dan Sarawak tidak sepatutnya menjadi pesuruhjaya SPAN seperti sekarang.

Peraturan perlu juga diperketatkan untuk mencegah sebarang penyalahgunaan kuasa atau kedudukan oleh pesuruhjaya SPAN untuk kepentingan diri dan meraih keuntungan perniagaan dalam sektor perkhidmatan air.

Penetapan tarif air oleh SPAN berasaskan kaedah cost plus method (tambahan kepada kos) perlu dihentikan. Kaedah sedemikian akan menyalurkan lebih banyak kos kepada pengguna dan tidak menggalakkan kecekapan sektor perkhidmatan air. Penetapan tarif perlu berdasarkan audit kos dan penanda aras.

Terdapat juga campur tangan daripada pegawai kementerian dalam operasi SPAN sebelum ini. Kami menggesa Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar menangani isu ini dengan pantas.

Pegawai yang tidak kompeten dalam SPAN mesti dikeluarkan untuk memastikan bekalan air terawat tidak terjejas. Selain itu, struktur SPAN perlu dirombak supaya menjadi lebih cekap.

S. PIARAPAKARAN

Presiden Awer