Sekiranya insiden sebegini tidak diatasi dengan baik, segala usaha murni kerajaan untuk membendung sikap merokok yang bahaya terhadap kesihatan diri perokok serta orang sekeliling yang terpaksa menghidu asap rokok akan menjadi sia-sia. Ini kerana pemilik premis makanan takut untuk mengambil sebarang langkah bagi melarang pelanggan mereka daripada merokok dalam kawasan mereka yang telah diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok oleh kerajaan.

Kawasan larangan merokok dalam negara kita adalah luas. Kerajaan juga ada menyatakan hasrat untuk memperluaskan kawasan larangan merokok dari semasa ke semasa pada masa depan. Sekiranya ini dilakukan, maka Kementerian Kesihatan akan mengalami kesukaran khususnya dalam melakukan proses pemantauan dan penguatkuasaan peraturan.

Memandangkan terdapat pelbagai risiko dalam proses pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan kawasan larangan merokok, adalah penting penguat kuasa khas ditubuhkan. Dengan adanya pasukan khas ini, proses penguatkuasaan undang-undang dapat dilakukan dengan lebih berkesan lagi.

Pada masa ini, masih tidak terdapat satu badan penguat kuasa yang khusus dalam mengendalikan isu larangan merokok. Seksyen 2 Akta Makanan 1983 (Akta 281) hanya mentafsirkan penguat kuasa atau pegawai yang diberi kuasa sebagai mana-mana pegawai kesihatan perubatan atau mana-mana penolong pegawai kesihatan persekitaran dari Kementerian Kesihatan atau dari mana-mana pihak berkuasa tempatan atau mana-mana orang berkelayakan sesuai yang dilantik oleh menteri.

Pembentukan sebuah badan penguat kuasa khas dalam perkara ini adalah penting supaya semua pihak memandang serius isu larangan merokok serta tidak berterusan melanggar segala peruntukan undang-undang yang telah ditetapkan.

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Pensyarah Kanan Fakulti Syariah & Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia