Apakah sebenarnya matlamat tindakan ini?

Mengutip lebih banyak cukai daripada perokok untuk menambah hasil kerajaan Pakatan Harapan (PH) atau mengurangkan bilangan perokok?

Kita perlu jelas dengan apa yang mahu dilakukan kerana jika tidak, ia akan menjadi satu usaha sia-sia.

Jika ia bermatlamat mengutip lebih banyak hasil untuk kerajaan yang memerintah, saya mohon mengucapkan tahniah kepada pengundi PH.

Anda telah membuat keputusan yang menyusahkan rakyat dengan memilih mereka sebagai pentadbir negara ini.

Jika ia bertujuan mengurangkan jumlah perokok di Malaysia, banyak langkah awal dan susulan yang perlu dilakukan sebelum tindakan menaikkan harga runcit rokok dibuat.

Rakyat Malaysia mahu tahu apakah pelan yang disusun supaya bilangan perokok berkurangan.

Paling tidak ia perlu dimulakan dengan kempen tidak merokok untuk satu tempoh tertentu dan disusuli penguatkuasaan fatwa yang menyatakan merokok itu haram.

Hanya selepas itu barulah harga runcit rokok dinaikkan.

Ini tidak, tiba-tiba Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkifley Ahmad mengumumkan harga runcit rokok akan dinaikkan akhir bulan ini.

Ia kelihatan seperti satu tindakkan tergesa-gesa menjelang pembentangan Bajet pertama kerajaan PH.

Kita patut tahu, apabila harga rokok naik, perokok akan mula mencari alternatif.

Rokok seludup akan menjadi pilihan utama mereka.

Sudah tentu rokok yang tiada elemen cukai yang memasukki negara ini secara haram pun akan turut mengalami kenaikan harga disebabkan permintaan yang tinggi.

Apakah bahagian penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah bersedia membanteras pengedaran rokok-rokok seludup ini?

Ingatlah bahawa rokok seludup tetap membanjiri pasaran negara ini.

PEMERHATI TULEN

Kajang, Selangor