Bas percuma? Tol percuma? Air percuma? Atau pendidikan percuma? Hutang PTPTN tak perlu bayar? Mesti ramai yang bergembira apabila PH berjaya menawan Putrajaya dan Iskandar Puteri.

Natijahnya, manis kata di bibir sahaja, katanya janji tidak semestinya dikota. Tetapi mereka lupa, bahawa tanda-tanda munafik itu ada tiga.

“Apabila berbicara, dia dusta. Apabila berjanji, dia mungkiri. Apabila dipercayai, dia khianat”.(HR. Muslim).

Menjadi impian setiap individu ingin memiliki rumah sendiri, lebih-lebih lagi setelah mendirikan rumah tangga. Sekecil mana pun rumah yang dimiliki, itulah mahligai bagi mereka memulakan kehidupan berkeluarga.

Oleh itu Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) adalah yang terbaik buat rakyat Johor memiliki kediaman sendiri.

Dalam hal ini, kerajaan terdahulu yang diketuai oleh Datuk Seri Khaled Nordin telah merancang untuk menyiapkan 60,000 unit RMMJ menjelang tahun 2020.

Segala keperluan seperti tapak telah pun dikenal pasti, dan bajet untuk menjayakannya telah pun disediakan di bawah kelolaan beberapa agensi seperti KPRJ, PIJ dan JCorp. Sejumlah lebih 10,000 unit telah pun disiapkan, malah ada yang telah diduduki.

Tetapi apabila rakyat menolak kepimpinan BN di Johor, nasib RMMJ adalah bergantung kepada takbir urus kepimpinan kerajaan yang baharu.

Apa yang kita harapkan agar kerajaan PH dapat memastikan pembinaan RMMJ diteruskan demi memenuhi keperluan rakyat.

Soal penjenamaan semula daripada RMMJ kepada Rumah Mampu Biaya (RMB) itu terpulang kepada kerajaan PH.

Yang penting rakyat tidak terkeliru antara janji PH untuk membina 100,000 unit RMB dan 60,000 unit RMMJ oleh kerajaan terdahulu yang sekarang ini sedang dalam pembinaan di beberapa bandar dan pekan seluruh negeri.

Ini bermakna pada tahun 2023, sejumlah 160,000 unit rumah akan dapat disediakan untuk rakyat Johor memiliki kediaman sendiri.

Soalnya dapatkah kerajaan PH menunaikan janji mereka untuk 100,000 unit RMB menjelang 2023? Sedangkan janji-janji pilihan raya seperti hapuskan tol dan lupuskan hutang PTPTN dengan bersahaja mereka kata hutang PTPTN wajib dibayar dan tol tidak boleh dihapuskan.

Mengenai RMB, kerajaan PH telah mengenal pasti beberapa kawasan di sekitar Johor Bahru untuk tujuan pembinaannya bagi menampung 15,000 penduduk setinggan yang masih belum memiliki rumah.

Tetapi setelah enam bulan menerajui kerajaan, masih belum ada satu pun majlis pecah tanah dilakukan oleh Menteri Besar baharu, Datuk Osman Sapian untuk projek RMB. Apakah kerana ini bukan projek yang boleh siap dalam tempoh sebulan dua?

Adakah dalam hal ini pun Osman Sapian mahu menunggu isyarat daripada Putrajaya?

Berbeza dengan kerajaan terdahulu, dalam masa lima bulan pertama Khaled Nordin telah melakukan majlis pecah tanah RMMJ di Taman Molek, diikuti bulan berikutnya hinggalah hujung tahun, telah ada empat atau lima majlis pecah tanah untuk projek RMMJ.

Hari ini sebahagian daripada RMMJ tersebut telah pun siap dibina dan mula diduduki.Mungkin soal menepati janji dan masa dianggap perkara remeh oleh Osman Sapian.

Hinggakan dalam menghadiri jemputan perasmian, beliau acap kali lewat tidak menepati masa, hingga ada yang terpaksa menunggu hampir dua jam demi menanti kehadiran seorang MB.

Teringat slogan yang diilhamkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad suatu ketika dahulu, “Kepimpinan Melalui Teladan.”

Maka kini perlu diingatkan peranan seorang wakil rakyat, (lebih-lebih lagi seorang MB) bukan semata-mata hanya ketika memotong reben dan melepaskan belon sahaja, kerana hakikatnya lebih daripada itu.

Sebagai bangsa Johor yang setia kepada Raja dan Ketuanan Melayu, tidak salah jika kita bersuara demi kebenaran. Menurut biarlah berakal, menentang biarlah beradab.

AB HAMKA

Aktivis Bangsa Johor.