KOMUNIKASI antara doktor dan pesakit menjadi asas paling utama dalam menentukan punca penyakit dan cara rawatan terbaik sehinggakan mampu mengancam nyawa jika berlaku salah faham. GAMBAR HIASAN

Semua pihak harus faham peranan bahasa Melayu di dalam segenap aspek kehidupan serta urusan pentadbiran rasmi kerajaan.

Saya masih tidak memahami rasional di sebalik kelonggaran yang diberikan oleh Jabatan Perkidmatan Awam (JPA) walaupun setelah mendapat permintaan daripada Kementerian Kesihatan.

Ini jelas bertentangan dengan Fasal 152 dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67. Persoalannya, mengapa masih ada pihak yang tidak memahami atau sengaja menimbulkan polemik ini?

Seharusnya perkara yang bersifat fundamental ini tidak perlu timbul sekiranya semua pihak faham tanggungjawab masing-masing memartabatkan bahasa Melayu.

Tiada negara di dunia ini yang warganegaranya tidak tahu berbahasa kebangsaan. Adakah ini taktik halus secara beransur-ansur meminggirkan bahasa kebangsaan?

Kita boleh mengagak apakah implikasi dari kelonggaran yang diberikan. Polemik lain akan timbul sekiranya kerajaan tidak bertegas dalam menangani isu ini.

Semua perjawatan dalam perkhidmatan awam sama ada kontrak ataupun tetap perlu lulus dan sepatutnya ditingkatkan kepada kredit subjek Bahasa Melayu kerana tidak masuk akal seorang warganegara tidak boleh faham dan bertutur bahasa kebangsaan negara sendiri. Tugas sebagai seorang doktor bukan sahaja memberikan ubat tetapi lebih daripada itu. Sekiranya mereka tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik, risikonya sangat besar dalam merawat dan menyediakan ubat khususnya jika berlaku salah faham antara doktor dan pesakit.

Bayangkan doktor tidak faham maklumat disampaikan pesakit sementara pesakit pula tidak faham penjelasan doktor berkaitan kaedah rawatan dan pengambilan ubat, lebih-lebih lagi melibatkan doktor pelatih.

Janganlah kita jadi seperti kata pepatah Melayu ‘untung secupak rugi segantang’ yang akhirnya bahasa Melayu sendiri terkorban dek kerana kelalaian kita sendiri.

MOHD. FIRDAUS ABD. MUNIR

Bentong, Pahang