Buktinya, e-dagang yang disokong 19 juta pengguna Malaysia kini bernilai RM25 bilion dan dijangka meningkat dua kali ganda menjelang 2020. Tarikan e-dagang kerana menawarkan pelbagai kemudahan dengan kelebihan membeli-belah secara dalam talian. Namun risiko tetap ada.

Kebanyakan isu timbul apabila pengguna membuat pembelian atau mendapatkan perkhidmatan melalui laman sosial dikendalikan syarikat-syarikat kecil atau individu yang tidak menyediakan kaedah bayaran selamat.

Laporan Berita Digital 2017 mengatakan rakyat Malaysia adalah pengguna WhatsApp terbesar di dunia dengan 51 peratus orang manakala Facebook (58 peratus) dan risiko pengguna terdedah kepada bahaya ditipu itu amat besar.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) sendiri telah menerima kira-kira 50 aduan berhubung pelbagai penipuan dalam talian tahun lalu. Itu hanya sebahagian kes kerana kebanyakan mangsa dilihat enggan mengambil tindakan lanjut setelah mengetahui beberapa prosedur perlu dilakukan jika mahu mendapatkan kembali wang mereka.

Sementara itu, dalam laporan baru-baru ini, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, ACP Mohd. Luthfi Ismail Abdullah berkata, terdapat 139 kes pinjaman palsu dalam talian berjumlah RM3.7 juta di Kuala Lumpur tahun lalu.

Rata-rata mangsa berdepan masalah kewangan. Mereka tertarik iklan yang menawarkan syarat pinjaman minimum seperti tidak memerlukan penjamin dan kelulusan segera. Biasanya yuran dikenakan amat kecil dan sekalipun menyedari ditipu, kebanyakan mangsa tidak membuat laporan. Keadaan itu menggalakkan penipu terus melakukan penipuan mereka.

Sementara itu, serangan siber dilancarkan di rantau Asia Pasifik beberapa tahun lalu telah menjejaskan sebahagian besar penduduk. Di Malaysia, beberapa mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dikesan digodam dari luar negara.

Memandangkan penipu semakin bijak mengubah modus operandi mengikut perkembangan teknologi semasa, pengguna diingatkan agar lebih berhati-hati ketika membuat transaksi secara dalam talian yang memerlukan kod imbasan Quick Response di tempat-tempat awam.

 

S.M. MOHAMED IDRIS

Presiden CAP