Beginilah nasib kami guru-guru yang dihantar berkhidmat jauh di bumi Borneo. Bukan kami memilih untuk berjauhan meninggalkan keluarga. Meninggalkan anak tanpa kasih sayang secukupnya daripada ibu bapa. Bukan niat untuk mengeluh.

Tetapi di mana keadilan untuk kami? Tidak cukupkah enam atau tujuh tahun berjauhan. Malah ada yang lebih lama mencecah belasan tahun. Sehinggakan anak bini terlupa bagaimana kasih sayang seorang bapa.

Tanggal 12 November 2018 menjadi detik yang ditunggu-tunggu oleh sebilangan besar warga pendidik. Adakah impian menjadi kenyataan? Adakah impian untuk bersama keluarga tercinta akan tercapai?

Namun, sinar harapan yang diharapkan nyata palsu semata. Betapa perit hati ini untuk saya menerima keputusan. Terpaksa berjauhan lagi bersama anak isteri untuk sekurang-kurangnya setahun lagi. Tidak ada perkataan yang dapat menggambarkan perasaan duka ini.

Apa yang membuatkan saya lebih kecewa apabila mendapat berita bahawa ramai guru yang masih bujang dan baru setahun dua berkhidmat di bumi Borneo ini diluluskan permohonan mereka untuk balik berkhidmat berhampiran keluarga tercinta. Sedangkan kami yang berkeluarga, malah telah berkhidmat bertahun-tahun di sini masih lagi ditolak permohonan. Saya betul-betul hairan bagaimana pihak kementerian membuat proses penyaringan untuk menentukan kelulusan pertukaran ini.

Bohonglah andai kami tidak kecewa dengan keputusan sebegini rupa. Apa yang kami mahukan adalah ketelusan daripada pihak kementerian dalam membuat penyaringan proses ini.

Keluhan saya ingin mewakili seluruh warga pendidik yang dihantar berjauhan dengan keluarga. Dengarlah rintihan kami. Tidak ada apa yang lebih menggembirakan kami selain berada bersama keluarga. Nescaya hati kami lebih tenang untuk berkhidmat demi anak bangsa.

Akhir kata, saya merayu kepada pihak Kementerian Pendidikan untuk mendengar suara kami.

MK. IZZUDDIN

Pendidik bumi pedalaman