Huffaz yang dimaksudkan ini bukan sekadar menghafal al-Quran tetapi mampu menguasai pelbagai disiplin ilmu sama ada duniawi mahupun ukhrawi. Bagi merealisasikannya mahu tidak mahu institusi tahfiz sedia ada perlu dilengkapi dengan kepelbagaian kurikulum khususnya bersifat aliran perdana agar pelajar-pelajar mereka dapat menguasai berbagai disiplin ilmu selain al-Quran.

Kita harus sedar hasrat kerajaan ini tidak akan tercapai dengan semata-mata menghafal al-Quran sahaja. Tanpa memiliki kelulusan dalam subjek lain sukar untuk mereka memasuki mana-mana institusi pengajian lain selepas tamat belajar di institut tahfiz. Sememangnya itu adalah sesuatu yang amat merugikan.

Sehubungan itu, institusi tahfiz di seluruh negara perlu menawarkan juga beberapa subjek yang terdapat dalam kurikulum arus perdana. Sekurang-kurangnya pelajar-pelajar ini mengambil subjek teras minimum yang membolehkan mereka menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dengan memiliki SPM, pelajar-pelajar tahfiz yang tamat pengajian layak memasuki institusi pengajian tinggi arus perdana sedia ada jika keputusan peperiksaan mereka cemerlang. Malah pelajar-pelajar tahfiz yang mempunyai kelulusan SPM turut berpeluang memperoleh kerja yang sesuai khususnya dalam sektor kerajaan mahupun swasta.

Seperkara lagi, kelebihan yang ada pelajar tahfiz ini ialah kemampuan mereka untuk mengaitkan ilmu-ilmu profesional seperti sains, matematik dan teknologi dengan ilmu al-Quran. Inilah yang berlaku dalam kalangan sarjana Islam sebelum ini.

Para sarjana Islam bukan sahaja hebat dalam bidang agama malah turut terkenal dalam ilmu-ilmu lain khususnya berkaitan sains dan teknologi. Lihat sahaja Ibnu Sina dan Ibnu al-Nafis yang mana nama mereka masih disebut-sebut sehinggalah hari ini.

Sarjana-sarjana Islam ini berjaya menghafal al-Quran sejak kecil lagi dan selepas itu mereka mendalami pula ilmu-ilmu profesional lain. Saya amat yakin jika ini dapat kita usahakan akan lahirlah masyarakat profesional celik al-Quran yang mampu menyelesaikan masalah masyarakat, pada masa sama dapat membangunkan negara dengan harmoni.

PROFESOR MADYA DR. ROSNI SAMAH

Universiti Sains Islam Malaysia