Ia turut memberikan kesan kepada rakyat yang masih tiada apa-apa pekerjaan atau digelar sebagai penganggur.

Malaysia merupakan negara yang menggunakan tenaga penuh dengan kadar pengangguran pada 3.4 peratus. Namun, terdapat isu struktur yang mengakibatkan pengangguran jangka masa panjang, terutamanya dalam kalangan belia.

Antara langkah yang bakal diambil kerajaan bagi mengatasi masalah ini adalah dengan melaksanakan dua program yang dibiayai melalui dana Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) iaitu program Apprenticeship dan Graduate Enhancement Programme for Employability (Generate).

Tujuan program ini bagi meningkatkan latihan kemahiran belia lepasan sekolah dan kebolehpasaran graduan dengan memberi manfaat seramai 4,000 belia lepasan sekolah dan universiti dengan peruntukan sebanyak RM20 juta berbentuk geran sepadan.

Rakyat akan menyambut baik jika kedua-dua program itu mampu mengurangkan peratusan pengangguran kerana masih ramai lepasan universiti belum mendapat pekerjaan. Ini merupakan satu peluang besar kepada mereka yang masih tidak mendapat apa-apa pekerjaan untuk menyertai program ini.

Pengenalan program seperti ini juga dapat membantu mengurangkan kadar peratusan jenayah yang melingkari golongan belia seperti menghisap dadah, mencuri, merompak dan sebagainya akibat ketiadaan pekerjaan.

Golongan ini biasanya mempunyai semangat dan keinginan untuk mencuba sesuatu perkara yang baharu walaupun melibatkan kegiatan jenayah. Mereka sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan duit terutama membeli dadah dengan cara mencuri atau merompak sehingga boleh menyebabkan berlakunya kes bunuh. Justeru, dengan adanya program ini diharap dapat mengurangkan kes jenayah melibatkan golongan tersebut.

FARZANA NISAQ AZIZI

Pelajar USIM