PAPARAN Utusan Online 19 April 2017.

Kajian itu melibatkan tiga universiti utama iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Daripada 402 responden, 33.1 peratus adalah dari UKM, 47.5 peratus dari USM dan 15.9 peratus dari UiTM. Terdapat juga 3.5 peratus mahasiswa dari universiti-universiti lain yang turut menjawab borang soal selidik kami.

Kajian dijalankan sebagai usaha memahami apa yang berada dalam pemikiran generasi pemimpin negara akan datang. Hasil kajian itu, pihak kami mendapati majoriti mahasiswa mempunyai tahap kefahaman tinggi mengenai perbuatan rasuah.

Namun yang merisaukan, masih ada 35.8 peratus daripada responden yang menyatakan menerima hadiah dalam bentuk wang, barangan atau perkhidmatan sebagai balasan atas perkhidmatan diberikan bukan kesalahan berbentuk rasuah.

Sebanyak 28.1 peratus daripada responden pula beranggapan bahawa tidak menjadi kesalahan untuk mengambil harta pejabat seperti pemacu pena (thumb drive), katrij dakwat mesin pencetak, kertas dan barangan lain untuk kegunaan peribadi.

Sementara itu, 37.3 peratus daripada responden berpendapat mengemukakan tuntutan bagi tugas luar walaupun penginapan telah disediakan oleh pihak penganjur adalah tidak salah.

Sebanyak 20.6 peratus responden pula beranggapan terlibat secara langsung dalam proses pelantikan ahli keluarga untuk mengisi jawatan kosong di jabatan mereka sebagai perbuatan dibolehkan.

Hasil kajian itu sekiranya dijadikan kayu ukuran memerlukan kita menyemak semula nilai apa yang telah disemai dalam kalangan mahasiswa. Mungkin nilai-nilai yang dipegang itu telah bermula sejak sekolah rendah lagi.

Kita khuatir kerana rata-rata mahasiswa ini akan menerima ijazah dan memasuki alam pekerjaan. Mereka akan menjadi pemimpin di tempat kerja dan dalam komuniti. Merekalah pemimpin ketika 2050 nanti.

Sekiranya, inilah pandangan mahasiswa, bagaimana kita ingin mengharapkan mereka yang bukan berpendidikan di peringkat universiti untuk mempunyai nilai integriti.

Penemuan hasil kajian ini tidak harus dipandang remeh dan perlu diberi perhatian sewajarnya agar generasi muda yang bakal menjadi pemimpin masa depan dapat menggalas tanggungjawab dengan sebaik mungkin.

Generasi muda adalah harapan masa hadapan negara, bahkan merekalah yang akan menjadi tenaga penggerak dan pemimpin agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Adakah kita boleh mengharapkan mahasiswa yang bakal menjadi pemimpin masa depan sekiranya sebahagian daripada mereka secara terang-terangan menyatakan tidak menjadi kesalahan melakukan sesuatu perbuatan yang umum tahu itu adalah rasuah.

Sebab itu, pihak Integriti sentiasa menekankan bahawa mendidik nilai murni harus bermula di rumah. Ibu bapa jangan mengabaikan peranan mereka di rumah dan perlu sentiasa menunjukkan sikap terbaik yang boleh dicontohi.

Guru-guru pula disaran agar menyelit nilai-nilai integriti dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Pemimpin masyarakat dan ahli politik memainkan peranan paling penting dalam membentuk integriti kerana mereka yang menjadi contoh kepada generasi pemimpin masa depan.

Semua pihak harus memainkan peranan masing-masing bagi memastikan wujud satu ekosistem yang telus dan berintegriti di negara ini terutama apabila tiba 2050 nanti.

DATUK DR. ANIS YUSAL YUSOFF

Presiden dan Ketua 
Pegawai Eksekutif Integriti