Bermula dengan amalan komisen dua ke tiga peratus daripada jumlah projek sehingga membawa kepada pengumpulan ratusan juta ringgit membuktikan rasuah yang dianggap petty corruption boleh menjadi grand corruption.

Petty corruption yang dikenali jenayah bersifat kecil dengan penglibatan seorang dua pegawai dan sebuah syarikat kontraktor jika dibiarkan boleh menjadi lebih besar dari segi penglibatan pegawai dan syarikat-syarikat terlibat serta jumlah suapan yang jauh lebih tinggi. Ini yang dinamakan grand corruption.

Apabila rasuah menjadi budaya dalam sesebuah organisasi, projek-projek dimonopoli oleh beberapa syarikat kroni sahaja, peluang syarikat lain tertutup.

Mereka yang terlibat pula terdiri daripada ketua jabatan, bahagian perolehan, bahagian teknikal, kewangan sehinggalah jurutera yang mengawal di peringkat daerah.

Komisen yang diterima bertambah daripada dua peratus kepada enam peratus hanya untuk menampung jumlah pegawai yang terlibat.

Bagaimanapun, pendedahan demi pendedahan yang dilakukan oleh SPRM berhubung rasuah dalam aspek perolehan ini, sedikitpun tidak mengusarkan pelaku-pelakunya.

Ia kerana sifat jenayah rasuah itu sendiri iaitu kedua-dua pihak sama ada pemberi atau penerima, masing-masing mendapat faedah.

Pelbagai pendekatan pencegahan diperkenalkan termasuk menandatangani Ikrar Bebas Rasuah, Integrity Pact dan sebagainya seolah-olah kurang berkesan untuk mencegah jenayah rasuah daripada berkurangan.

Walaupun Kementerian Kewangan telah mengeluarkan pekeliling berhubung tatacara perolehan kerajaan menerusi proses sebut harga dan tender, namun prinsip rules are made to be broken menjadi amalan pihak-pihak terlibat.

Peraturan dimanipulasi atas kreativiti manusia. Proses dan prosedur tender dipatuhi sepenuhnya, namun manipulasi dibuat dengan membocorkan harga tender kepada syarikat yang berkepentingan.

Terdapat segelintir pegawai yang mengambil jalan mudah dengan berbincang di peringkat awal penyediaan spesifikasi bagi projek-projek bersifat teknikal.

Akhirnya syarikat yang membantu membangunkan spesifikasi itulah yang mempunyai kelebihan untuk membolot projek berkenaan. Di manakah ketelusan dan keadilan dalam proses tender sebegini?

Diburukkan lagi bilamana campur tangan politik dalam proses-proses perolehan.

Peranan surat sokongan, campur tangan pegawai-pegawai menteri seperti setiausaha politik, setiausaha sulit kanan dan pegawai khas membuatkan proses perolehan menjadi rumit serta berpaksi kepada siapa paling berpengaruh.

Terdapat juga segelintir agensi yang mengambil kesempatan ke atas projek-projek yang dikategorikan sebagai kecemasan atau darurat.

Sebagai contoh pembangunan semula akibat kesan alam sekitar seperti tanah runtuh atau banjir besar.

Atas alasan tindakan segera, projek kecemasan atau darurat ini digunakan sebagai alasan untuk tidak mengikut prosedur yang ditetapkan dan ia diberikan kepada kontraktor-kontraktor kroni.

Rasuah dan monopoli dalam sektor perolehan ini bukan hanya berlaku dalam agensi-agensi kerajaan. Malah ia juga berleluasa dalam syarikat-syarikat milik kerajaan dan swasta.

Kesannya, harga projek akan melambung dan kualiti serta spesifikasi projek berkurangan. Ini semua bagi menampung kos bayaran rasuah kepada pihak-pihak terbabit.

Mana ada syarikat yang mahu rugi dalam perniagaan. Jika jumlah dua peratus hingga enam peratus diminta sebagai ‘pelincir’ maka jumlah keuntungan akan berkurangan.

Bagi mengatasi masalah ini, adakala harga siling projek dinaikkan atau spesifikasi projek dikurangkan. Semuanya bagi menampung rasuah yang terpaksa dibayar.

Selain itu, konsep payung ala ali baba begitu berleluasa dalam sistem perolehan di mana sebuah syarikat yang memegang lesen lain-lain syarikat dalam projek-projek G1 (Kelas F) merupakan antara faktor utama kenapa rasuah merebak dalam sektor ini.

Lesen-lesen ini digunakan untuk memenuhi syarat perolehan di mana sekurang-kurangnya lima kontraktor perlu memasuki sebut harga. Ini bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Akhirnya projek-projek dimonopoli dan dilaksanakan oleh kontraktor yang sama. Pemegang-pemegang lesen dibayar saguhati iaitu dua % daripada keuntungan projek.

Sikap ketua jabatan yang tamak dan ingin mengaut keuntungan mudah membuatkan projek-projek agensi diserahkan kepada kroni.

Ada yang lebih daring apabila projek diberikan kepada isteri, anak mahupun saudara mara.

Pendedahan Utusan Malaysia semalam bertajuk Kontraktor Sengsara perlu diambil iktibar dan Kementerian Kewangan wajar melaksana langkah drastik.

Terlalu banyak faktor penyebab rasuah yang boleh didedahkan. Walaupun pelbagai kaedah termasuk penggunaan sistem e-bidding digunakan, namun permasalahan ini terus berkembang.

Pembersihan terhadap syarikat pemegang-pemegang lesen kontraktor ini perlu dibuat bagi menghentikan syarikat-syarikat tidak berkelayakan dan menjual projek yang diperoleh untuk mengelakkan salah guna berlaku.

Syarikat-syarikat yang terlibat dengan rasuah perlu disenaraihitam. Begitu juga dengan individu yang memiliki syarikat tersebut juga perlu disenaraihitamkan.

Tindakan senarai hitam daripada memasuki apa jua sebut harga dan tender kerajaan perlu dibuat secara tegas.

Tidak hanya melepas batuk di tangga dan langsung tidak memberikan kesan deterrent kepada pihak terlibat.

JOHAN KAY ABDULLAH

Putrajaya