Ada yang memuji dan menyokong, tidak kurang juga yang menghentam dan mencaci gara-gara sikapnya menayang harta sambil memperlekeh kesukaran hidup orang lain.

Dahulu saya sangka rata-rata rakyat Malaysia akan sepakat menolak sikap spekulator rumah membuat keuntungan atas angin melalui jual beli hartanah seperti jual beli saham.

Kes terbaru ini membuktikan semakin ramai yang menyokong ‘sifu’ tersebut memandangkan mereka sendiri mengikut jejak sama mengumpul hartanah sebagai pelaburan.

Namun apa dibangkitkan golongan yang membantah adalah sikap spekulator membeli rumah kos rendah atau mampu milik dan bukannya rumah mewah yang begitu banyak berlebihan sehinggakan kerajaan terpaksa bekukan projek-projek mewah baharu.

Melihatkan komen-komen yang menyokong ‘sifu’ tersebut, boleh dirumuskan semakin ramai orang Melayu memiliki dua atau lebih rumah sebagai pelaburan.

Alasan mereka, rumah dibeli untuk disewakan dan hasil sewa itu digunakan untuk membayar pinjaman bank dan jika ada lebihan boleh digunakan bagi membeli keperluan lain mahupun deposit membeli rumah baharu.

Tarikan untuk mereka menyertai pasukan spekulator hartanah adalah rumah itu dibayar penyewa dan akhirnya mereka dapat rumah percuma, siap ada pendapatan lebihan untuk digunakan.

Tidak kurang juga menggunakan alasan orang bukan Islam boleh sahaja lakukannya, kenapa tidak orang Islam? Langsung tidak difikirkan batasan-batasan mengambil untung dalam Islam.

Mereka yang membantah kaedah ini pula rata-ratanya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah atau tidak mencukupi untuk membeli rumah pertama.

Golongan tiada rumah ini bertambah marah apabila skim-skim bantuan perumahan disediakan untuk rakyat juga jatuh ke tangan spekulator yang sudah mempunyai dua atau lebih rumah.

Akhirnya rumah untuk membantu rakyat seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR), Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan banyak lagi menjadi lubuk rumah sewa.

Spekulator juga hanya menunggu masa untuk menjual rumah bantuan kerajaan itu memandangkan kebanyakan projek kerajaan yang mengenakan had masa di samping syarat ketat untuk dijual.

Dengan margin keuntungan puluhan hingga ratusan ribu ringgit bagi setiap rumah yang berjaya dijual semula ditambah pula pendapatan sewaan jika tidak boleh dijual, tidak menghairankan spekulator langsung tidak gerun dengan peraturan sedia ada memandangkan dendanya kecil sahaja dan tiada hukuman penjara mahupun sebat.

Mungkin sampai masanya kerajaan campur tangan dalam menetapkan jumlah rumah yang boleh dimiliki setiap individu khususnya mengehadkan bilangan rumah bantuan kerajaan bagi setiap keluarga.

Biarkan spekulator membeli rumah mewah atau membeli tanah dan membina sendiri rumah tetapi jangan dibiarkan rumah kos rendah, mampu milik dan rumah bantuan kerajaan dijadikan platform mengaut keuntungan atas angin sedangkan masih ramai mendambakan rumah sendiri.

Saya sendiri mempunyai tiga buah rumah tetapi dua daripadanya harta warisan dan walaupun mampu membeli banyak rumah saya tidak mahu menyertai aktiviti tidak bermoral ini kerana rumah bagi saya satu keperluan asas hidup seperti ubat, air dan makanan.

Jika kita membenarkan rumah menjadi platform apungan pasaran jual beli seperti saham dan matawang, maka kita membuka jalan untuk semua keperluan asas hidup didagangkan sesuka hati kelak semata-mata demi keuntungan kapitalis.

Akhirnya yang kaya semakin kaya, yang miskin kekal miskin. Golongan pertengahan yang terlibat dengan aktiviti spekulasi hartanah juga tidak sedar mereka hanya membantu orang kaya membuat duit dengan membantu melonjakkan harga rumah.

Akhirnya anak cucu mereka yang menjadi mangsanya kerana tidak mampu membeli rumah walaupun cuma saiz bilik air seperti mana yang berlaku di Hong Kong, New York, London, Singapura, Tokyo dan banyak lagi bandar di seluruh dunia.

WARIH NOGORI

Rembau, Negeri Sembilan