Dengan rasa syukur dan berjanji akan beribadah pada bulan mulia itu sebaik mungkin supaya amalan kita diterima dan dosa kita diampun. Itulah harapan setiap Muslim beriman.

Walau bagaimanapun, bolehkah kita berjanji dengan diri apabila menjelang Ramadan ini, kita dapat menjaga mulut daripada mengeluarkan kata-kata yang boleh hilang pahala seperti mengumpat, memfitnah, cakap kotor, bermesej tidak berfaedah, berbohong dan benar-benar berjanji berakhlak sebagaimana Islam ajar kita?

Mampukah kita mengurangkan bercakap yang sia-sia dan tidak mudah marah serta dapat menahan nafsu daripada berbelanja berlebih-lebihan hingga kadangkala membazir dengan segala makanan terhidang semasa berbuka nanti?

Mampukah kita bersolat berjemaah sepanjang bulan Ramadan nanti? Berzikir dan berselawatlah di mana sahaja dan jadikan al-Quran sebagai sahabat kita sepanjang Ramadan ini. Bolehkah kita gandakan sedekah dan suka membantu dan berbaik sangka dengan semua orang?

Bagi yang sudah pasang niat untuk berniaga bagi menambah rezeki pada bulan Ramadan ini dengan membuka gerai jualan makanan, sanggupkah kita tidak menipu pelanggan dengan menjual lauk pauk dan kuih-muih sudah basi dan tidak mengurang saiz menjadi kecil daripada biasa semata-mata mahu mengaut untung lebih?

Bagi kaum wanita Muslimin pula, bolehkah menutup aurat sepanjang bulan puasa dan kurangkan penggunaan minyak wangi serta kurangkan ‘membawang’?

Kesimpulannya, kalau tidak mahu amalan ibadah kita menjadi sia-sia dan hanya dapat lapar dan dahaga, maka jagalah akhlak. Jangan sampai terjerumus kepada perbuatan terlarang yang Allah benci dan Rasulullah SAW tidak pernah ajar sedemikian.

Kalau kita mengaku cintakan Allah dan Rasulullah SAW dan mahukan ganjaran syurga serta takutkan azab neraka, patuhilah segala perintah-Nya dan jadikan Ramadan ini sebagai perintis mendapat keredaan-Nya.

Allah tidak mungkir janji kalau kita mahukan ganjaran syurga. Patuhilah segala ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW kerana sifat Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang serta Maha Pengampun maka tiada sebab untuk kita lalai dan melanggar segala larangan-Nya.

Pokok pangkalnya adalah hati kita, adakah kita ikhlas dan benar-benar mahukan syurga Allah?

SYED ABDULLAH
Seremban