Sekitar tahun 1300, kata-kata itu telah diguna pakai sebagai moto Winchester College dan juga New College di Oxford. Ini jelas menunjukkan tidak kira di mana dan zaman bila sekali pun kita berada, kita tidak boleh lari daripada menjaga adab bagi menyemai kesejahteraan hidup.

Berdasarkan kamus Oxford, adab yang dimaksudkan di sini merangkumi etika, moral dan kesantunan.

Sungguhpun begitu, agak mengecewakan apabila kita menyaksikan nilai masyarakat Melayu yang menjunjung tinggi budi bahasa serta kesantunan kian terhakis ditelan zaman.

Tidak dinafikan budaya Melayu sememangnya mengutamakan kesantunan walaupun ketika melontarkan kata- kata yang berbaur sindiran, di mana kita dididik untuk memilih perkataan dengan berhati-hati bagi menegur serta memperbetulkan kesalahan seseorang. Hal ini adalah bertujuan untuk tidak mengguris hati mana-mana pihak.

Seiring dengan arus modenisasi, masyarakat kita lebih verbal dan tidak memeranjatkan lagi jika sesuatu kenyataan yang meluncur dari bibir sesetengah pihak mampu membuat sesiapa yang mendengarnya tersentak.

Walaupun begitu, adalah tidak salah untuk kita menyatakan sesuatu secara terang-terangan kerana bagi sesetengah orang, kata-kata yang berunsur kiasan ini maksudnya agak sukar untuk difahami.

Tetapi yang menjadi kerisauan adalah apabila diberi kebebasan untuk bersuara dan mengutarakan apa di fikiran tanpa berselindung, bahasa kasar dan ejekan giat disajikan malahan semakin tumbuh mekar dalam kalangan masyarakat kita sehingga ia dianggap sebagai norma bangsa Melayu.

Namun, dengan kedatangan Ramadan, ia menandakan fasa baharu yang begitu sesuai bagi kita rakyat Malaysia untuk menjaga serta memperbaiki lisan seperti seorang perokok menahan dirinya daripada merokok kerana sedang berpuasa.

Rasulullah SAW bersabda, “Puasa itu bukanlah dengan menahan diri dari makan dan minum sahaja tetapi ia juga menahan dari perbuatan yang sia-sia dan jimak”. Ayat ini jelas memberi maksud bahawa lidah juga antara anggota utama perlu dijaga ketika berpuasa.

Untuk memacu perubahan sememangnya tidak dapat dilakukan hanya dalam masa satu hari kerana ia perlu memakan masa. Namun, apabila diri sudah dibiasakan dari awal untuk berlatih mengawal lidah daripada mengucapkan perkara yang tidak elok, maka secara automatik apabila tamatnya bulan Ramadan, tabiat lama itu sukar kembali.

Kecantikan lisan itu datangnya daripada hati nurani yang bersih. Maka, jauhilah pertuturan yang sia-sia sebegini kerana ia juga mencerminkan bahawa bangsa kita telahpun pincang adab ketimuran.

PENGASUH BUDIMAN