Saya bukanlah mahu merungut tetapi agak terkesan apabila ada sesetengah pihak yang menyatakan Melayu itu bersifat malas menyebabkan kaum tersebut sentiasa berdepan dengan masalah dalam kehidupan, terutamanya kewangan.

Ramai yang sedar kos hidup di bandar-bandar besar amat tinggi, harga barang kian meningkat tambahan kini banyak bantuan telah ditarik semula.

Bagi saya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji sekitar RM1,650 pastinya tiada kemewahan yang dapat saya berikan kepada lima anak saya.

Ketika bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memerintah, setiap 21 dan 12 haribulan pada hujung tahun saya akan menerima bantuan RM100 bagi tiga orang anak saya yang sedang bersekolah.

Saya kumpul, Alhamdulillah dapat selesaikan duit buku mereka, jadi saya hanya perlu tambah sedikit untuk membeli keperluan lain.

Kepada mereka yang berkemampuan pastinya bantuan-bantuan sedemikian hanya dipandang sebelah mata tetapi tidak golongan seperti saya, tiada istilah dedak sebenarnya tetapi bantuan tersebut benar-benar dapat meringankan sedikit sebanyak beban yang ditanggung.

Bayangkan dengan lima anak yang perlu ditanggung, segala perbelanjaan seperti makan minum, sewa rumah, keperluan sekolah terpaksa saya selesaikan dengan hanya berbekalkan gaji yang ada, sekadar cukup-cukup makan sahaja.

Ungkapan rakyat menjadi malas jika asyik menerima bantuan pastinya tidak akan keluar daripada mulut pemimpin tertinggi jika mereka dapat merasai keperitan ditanggung kami di bawah ini.

Kami bukan malas dan tidak bekerja, tetapi mampukah kami terus bertahan sekiranya segala barangan keperluan harian naik tanpa ada sebarang kawalan dan bantuan daripada pihak kerajaan?

IBU TUNGGAL,
Kuala Lumpur