KERATAN Utusan Malaysia 7 September 2018.

Perubahan ini berkait langsung dengan lambakan peniaga warga asing yang telah membanjiri segenap ruang perniagaan khususnya di sekitar ibu kota.

Kehadiran mereka telah menjejaskan banyak peluang kepada peniaga tempatan untuk mencari rezeki khususnya para peniaga kecil seperti saya yang hanya bergantung pendapatan daripada hasil perniagaan semata-mata.

Pada mulanya saya merasa hairan mengapa warga asing ini sewenang-wenangnya dapat menjalankan perniagaan mereka di sini tanpa dikenakan sebarang tindakan oleh pihak berkuasa.

Saya sempat menyemak laman web Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan ternyata salah satu syarat mendaftarkan perniagaan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1965, seseorang itu mestilah warganegara Malaysia.

Bagaimanapun, saya difahamkan bahawa warga asing yang ingin menjalankan perniagaan di Malaysia boleh mendaftarkan syarikat sendirian berhad di bawah Akta Syarikat 2016.

Tetapi, dalam isu ini saya tidak rasa bahawa lambakan peniaga warga asing ini mendaftar di bawah Akta Syarikat 2016 memandangkan syarat dan proses pendaftarannya memerlukan seseorang warga asing mempunyai alamat kediaman utama di Malaysia serta melibatkan modal yang besar untuk menubuhkan sesebuah syarikat.

Bukan niat saya untuk menuding jari dan menyalahkan mana-mana pihak tetapi sekadar untuk meluahkan kekecewaan saya terhadap segelintir rakyat tempatan sendiri yang mencari keuntungan mudah dengan menyediakan kemudahan kepada warga asing untuk menjalankan perniagaan seperti menyewakan premis dan meminjamkan lesen perniagaan mereka kepada warga asing.

Pada masa sama, saya juga ingin menzahirkan kekecewaan terhadap kelemahan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana gagal melaksanakan pemantauan yang berkesan di premis-premis perniagaan warga asing.

Begitu juga Jabatan Imigresen yang dilihat masih gagal mengambil tindakan tegas terhadap warga asing yang terbukti menyalahgunakan permit diberikan untuk masuk ke negara ini.

Oleh itu, saya ingin menyeru kepada pihak berkuasa yang terlibat agar meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan kepada warga asing ini agar tidak menjalankan perniagaan dengan sewenang-wenangnya.

Sekiranya pihak berkuasa gagal melaksanakan tanggungjawab mereka, saya percaya bilangan peniaga warga asing akan terus meningkat sekali gus menutup peluang kepada warga tempatan untuk mencari rezeki.

PAKDIN

Sentul