Rata-rata rakyat semakin tertekan dengan segala tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan. Setiap kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri-menteri kebanyakannya akan membuat pusingan U jika ia bercanggah dengan kehendak rakyat.

Persoalannya, apakah yang membuatkan rakyat semakin hilang kepercayaan terhadap kerajaan Pakatan Harapan?

Sebagai contoh, keuntungan yang dikaut oleh kerajaan terhadap bahan api RON95 dan RON97. Perkara ini amat mengecewakan rakyat kerana tanpa pengetahuan mereka, kerajaan mengambil kesempatan dalam diam. Adakah ini jalan paling mudah untuk mendapatkan hasil negara?

Seterusnya isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Sudahlah kerajaan memberi harapan palsu kepada peminjam kononnya ingin memansuhkan PTPTN tetapi hakikatnya janji hanya tinggal janji. Kini mekanisme yang diperkenalkan pula semakin membebankan peminjam.

Malah sedar atau tidak, golongan seperti peladang, petani, pekebun seakan-akan ditindas lebih-lebih lagi mereka yang mengusahakan pertanian secara kecil-kecilan. Dalam keadaan harga getah dan sawit yang semakin jatuh merudum, selain musim yang tidak menentu ini menyukarkan mereka melakukan aktiviti pertanian. Namun, ada juga menteri yang ‘berfikir di luar kotak’ dengan memberi cadangan supaya penoreh getah menoreh pada musim tengkujuh.

Baru-baru ini pula ada pengumuman supaya peladang atau pekebun kecil dikehendaki mempunyai Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). Dalam keadaan harga kelapa sawit tidak menentu, mereka pula terpaksa mengeluarkan duit semata-mata untuk mendapatkan sijil ini.

Kesemua ini adalah antara perkara yang menyebabkan rakyat semakin kurang yakin dengan kecekapan kerajaan pada hari ini. Tidak dinafikan 2019 akan menjadi tahun paling mencabar untuk semua rakyat dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat. Maka kerajaan hari ini sepatutnya berhenti berpolitik sebaliknya fokus menangani masalah rakyat.

DHIA HANI

Persatuan Pemikir Muda Johor