Dalam pengiraan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pemberian atau hadiah tidak dikira sebagai perbelanjaan negara. Pemberian tersebut tidak memberi pulangan dalam bentuk produktiviti sama ada pengeluaran produk barangan atau perkhidmatan.

Pertubuhan Penyatuan Pembelaan Melayu Malaysia (PPPMM) sangat tidak setuju jika BR1M dimansuhkan. Tidak dinafikan BR1M memberi kesan terhadap ekonomi negara dengan andaian wang tersebut dibelanjakan untuk barang keperluan.

Perbelanjaan ini secara langsung merancakkan aktiviti ekonomi. Rangsangan ini akan meningkatkan pendapatan negara tetapi impaknya untuk jangka pendek sahaja.

Pada hemat PPPMM, memansuhkan BR1M adalah langkah tidak bijak. Sekiranya negara hendak membantu golongan berpendapatan rendah menghadapi kos sara hidup, bantuan sebegini salah satu pendekatan terbaik.

Dengan ‘mengutamakan pembangunan insan’ daripada ‘pembangunan material’, kami percaya lambat-laun ekonomi negara akan pulih.

BR1M wajar diteruskan dengan menambah baik mekanisme kelayakan penerima. Negara barat seperti Amerika Syarikat mengagih bantuan mingguan dalam bentuk unemployment benefits kepada golongan penganggur.

PPPMM mencadangkan sebuah ‘panel khas’ dibentuk bagi mengenal pasti golongan yang layak menerima bantuan dipanggil skim ‘Bantuan Sara Hidup Rakyat’ ini.

Kami banyak menerima aduan daripada orang ramai tentang pemberian BR1M kerana ada yang pernah dapat kemudian langsung tidak dapat.

Maka diharapkan bantuan disalurkan kepada yang layak dan golongan yang sangat memerlukan, bukan main tabur ikut suka hati apatah lagi bagi matlamat politik.

A. RAHMAN MAHADI

Presiden PPPMM